June 10, 2013

10 lelaki bertindak ala mafia serang, samun restoran



KUALA LUMPUR 9 Jun - Sekumpulan 10 lelaki bersenjatakan parang bertindak ala 'mafia' selepas menyerang dan memukul hampir 50 pelanggan sebuah restoran makanan laut sebelum menyamun mereka awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi di Jalan Mutiara Raya, Taman Taynton View, Cheras di sini, ketika kesemua pelanggan terbabit sedang menjamu selera.

Sumber berkata, suspek yang berkulit gelap dipercayai menyerang kebanyakan pelanggan termasuk menggunakan kerusi dan batang besi paip.

"Pelanggan yang ketakutan lari menyelamatkan diri dan meninggalkan barang-barang berharga mereka. Kebanyakan mereka menyembunyikan diri ke kawasan perumahan berhampiran.

"Kira-kira 15 minit kemudian, pelanggan restoran itu kembali ke situ dan mendapati barang-barang berharga seperti telefon bimbit yang ditinggalkan telah pun hilang dipercayai dilarikan suspek," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata sumber itu lagi, kesemua pelanggan bagaimanapun bernasib baik kerana kereta mereka yang ditinggalkan berdekatan restoran itu ketika cuba menyelamatkan diri tidak dirosakkan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh memberitahu, restoran itu kerugian RM1,300 dalam kejadian samun tersebut.

Utusan 10 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment