2MM

TERIMA KASIH

Latifah Omar meninggal dunia

Latifah Omar 

KUALA LUMPUR - SENIWATI Latifah Omar dilaporkan meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) petang tadi.

Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM setelah menjalani pembedahan akibat penyakit ulser.

Pelakon veteran yang berusia 74 tahun itu dimasukkan ke wad setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah pada Khamis lalu sebelum dibawa ke hospital.

Berita kematian tersebut disahkan Presiden Seniman, Zed Zaidi yang dihubungi Sinar Harian Online.

Menurutnya, sebelum dimasukkan ke HUKM, Allahyarham telah dimasukkan ke Hospital Islam Kampung baru namun dipindahkan ke HUKM ekoran kos perubatan terlalu tinggi.

“Beliau dipindahkan ke HUKM kerana kos terlalu tinggi. Beliau sudah menjalani dua pembedahan dan disahkan meninggal jam 6.19 petang, tadi,” katanya.

Zed Zaidi juga memberitahu, pelakon veteran, Datuk Mustapha Maarof turut mengiringi jenazah Latifah Omar untuk dibawa pulang.

“Datuk Mustafa Maarof berusaha membawa dan ingin mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Ampang.

“Jenazah akan dikebumikan esok pagi,” katanya.

Turut disemadikan di tanah perkuburan itu termasuklah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan beberapa seniman serta seniwati lain.

Sinar Harian 9 Jun 2013


Latifah Omar dalam kenangan

Antara babak yang dilakonkan oleh Allahyarhamah Latifah Omar.

SEBUTIR demi sebutir bintang pergi meninggalkan kita.

Namun, apa yang pasti, tiada siapa mampu menggantikan tempat mereka dihati peminat.

Setelah dikejutkan dengan pemergian pelawak veteran, S.Shamsudin, Selasa lalu, kita dikejutkan pula dengan berita pemergian pelakon veteran, Latifah Omar, semalam.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 6.19 petang semalam di HUKM akibat penyakit ulser.

Pelakon veteran yang berusia 74 tahun itu dimasukkan ke wad setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah pada Khamis lalu sebelum dibawa ke hospital.

Jenazah bakal disembahyangkan di Masjid Al Ansar Taman Keramat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ansar, pada jam 11 pagi ini.

Nama Latifah Omar mula dikenali selepas menceburkan diri dalam dunia lakonan pada era 1950-an.

Pada tahun 1953, beliau dinobat sebagai Ratu Cantik Singapura dan sejak itu beliau mula mencipta nama dalam dunia lakonan.

Filem Panggilan Pulau merupakan filem pertama lakonannya.

Latifah sering dilihat bergandingan dengan seniman Nordin Ahmad dalam pelbagai filem, antaranya, Lanchang Kuning dan Gurindam Jiwa.

Pada tahun 1959, Latifah terus dikenali dengan penampilannya sebagai Bawang Putih dalam filem Bawang Putih Bawang Merah.

Bukan sahaja memiliki rupa paras jelita, malah setiap lakonannya amat berkesan.

Beliau sentiasa berjaya membawakan wataknya dengan berkesan hingga membuatkan penonton menitiskan air mata.

Selepas memiliki anak, allahyarham memilih untuk bersama keluarga dan bersara dari dunia lakonan.

“Lakonan terakhir saya ialah filem, Hati Batu pada 1973. Ketika itu, saya membuat keputusan untuk berhenti berlakon kerana memiliki anak kecil. Jika saya terus berlakon, saya tidak dapat beri perhatian penuh kepada anak.

“Memang niat saya ketika itu bukanlah untuk berhenti terus, tetapi bila bertahun-tahun tidak berlakon, saya jadi kekok untuk memulakannya semula. Jadi, saya ambil keputusan untuk terus bersara.

“Tidak dinafikan, saya menerima banyak tawaran berlakon filem dan drama, tapi saya tolak. Saya dah tertutup hati untuk berlakon semula dan lebih selesa berada di rumah, melayan karenah cucu-cucu,” katanya dalam satu temu bual bersama Sinar Harian, tahun lalu.

Sinar Harian 10 Jun 2013




No comments:

Post a Comment