April 26, 2013

Terpaksa berlakon jadi lembik


BALING - “Saya terpaksa berlakon jadi lembik. Kalau tidak, lagi teruk depa pukul saya,” kata Habib Omar, 55, mangsa serangan penyokong parti lawan ketika dalam perjananan pulang selepas proses penamaan calon di Pejabat Daerah Baling 20 April lalu.

Dalam kejadian itu, lebih 50 penyokong parti lawan memijak kepala dan badan mangsa ketika cuba menyelamatkan anaknya yang juga diserang parti lawan itu.

Menurutnya, dia bersama anaknya, Khirul Razi, 24; menantunya, Mohd Fazli Ahmad, 30, dan adik kepada menantunya, Mohd Fahmi Ahmad, 27, dalam perjalanan pulang sebelum laluan mereka disekat salah seorang penyokong parti lawan kira-kira jam 1.30 petang di Jalan Charuk Bakap.

Habib yang menunggang motosikal berkata, salah seorang penyokong itu bertindak menyekat laluan mereka dengan motosikal sebelum bertindak memukul dan menumbuk kepala anaknya.

“Saya nampak jelas anak saya sedang mengelak dari mukanya ditumbuk. Jadi, saya pun naik berang dan cuba mempertahankan anak saya.

“Namun, penyokong mereka ramai. Saya ditolak dan jatuh di atas jalan. Ketika itulah saya dipijak di bahagian kepala dan badan. Saya terpaksa berlakon tidak sedarkan bagi mengelak mereka terus memukul saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Katanya, dia bersyukur kerana tidak menanggalkan topi keledarnya, sekiranya tidak, dia pasti mengalami kecederaan parah.

“Penyokong parti lawan berhenti memukul saya selepas terdapat salah seorang penyokong mengatakan kepala saya dah patah. Mungkin mereka takut dan terus melarikan diri.

“Kejadian itu terlalu cepat, kalau tidak silap saya. Hanya dalam lima minit. Selepas itu, saya dan anak terus ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan seterusnya membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, kereta yang dinaiki oleh Mohd Fazli dan Mohd Fahmi itu juga kemik akibat dihentak oleh penyokong parti lawan itu.

“Saya kesal dengan tindakan mereka sedangkan saya dan keluarga tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan parti lawan sebelum ini.

“Saya yakin, tindakan mereka itu adalah hanya disebabkan kami berada di parti berlainan tambahan pula saya menghias motosikal saya dengan bendera parti politik,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehingga ke hari ini, Habib masih mengalami sengal dan kebas di bahagian badan dan kepalanya akibat kejadian itu.

Sementara itu. Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Md Hasan mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya kes akan disiasat mengikut seksyen 323 dan 147 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kecederaan.

Sinar Harian 26 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment