April 26, 2013

Ibu tunggal reda jaga adik lumpuh

Tengku Zulkifli (kanan) melawat Rohaiza yang lumpuh di Kampung Teluk Baru, Peramu.

KUANTAN - Bagai jatuh ditimpa tangga. Begitulah boleh diumpamakan keadaan yang terpaksa diharungi ibu tunggal, Rohaslinda Mohd Said, 44, apabila terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga adiknya, Rohaiza Mohd Said, 40, yang mengalami tekanan perasaan dan lumpuh.

Rohaslinda berkata, adiknya mula mengalami tekanan perasaan selepas kematian suaminya sejak setahun lalu.

Menurutnya, keadaan bertambah teruk apabila dia terjatuh dan disahkan lumpuh sehingga terpaksa bergantung pada kerusi roda.

“Sejak setahun lalu, dia jadi murung dan saya perlu menjaganya sepanjang masa. Walaupun kehidupan saya bersama dua anak dihimpit kesusahan namun kerana kasih, saya dengan rela hati menjaga adik saya.

“Bagaimanapun, kalau ada tempat penjagaan yang boleh saya hantar dia, memang saya nak bebruat demikian agar saya boleh bekerja untuk menyara kehidupan,” katanya ketika ditemui pada Sesi Kempen calon N15 Tanjung Lumpur, Datuk Tengku Zulkifli Tengku Ahmad, di Kampung Teluk Baru, Peramu.

Rohaslinda berkata, buat masa ini mereka bergantung hidup dengan wang bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, nasibnya baik apabila mendapat bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada 2010.

Sinar Harian 26 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment