April 2, 2013

Tak sempat genggam ijazah


Keadaan Perodua Viva yang turut remuk di bahagian penumpang depan.

Motosikal yang ditunggang Muhammad Fadzlan rosak teruk di bahagian depan selepas dirempuh Perodua Viva.

KIJAL – Seorang mahasiswa cemerlang Kolej Universiti Tati (Tatiuc), maut apabila motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta di Teluk Kalong, dekat sini.

Dalam kejadian di simpang tiga ke Taman Seri Kalongan, Teluk Kalong, kira-kira jam 7 petang, Sabtu lalu, penuntut tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Pembuatan, Muhammad Fadzlan Ramli, 23, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kemaman selepas motosikal ditungganginya dirempuh kereta jenis Perodua Viva.

Nahas berlaku kira-kira 400 meter dari pintu pagar utama kampus induk Tatiuc dan ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) Tatiuc menuju ke arah Kuala Terengganu.

Mangsa yang juga anak sulung daripada enam beradik sebelum itu menyiapkan projek acuan plastik bagi projek subjek ‘workshop’ di ITC.

Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang mangsa dipercayai dirempuh Perodua Viva yang dinaiki empat pemuda dari arah bertentangan yang ingin masuk ke simpang kawasan taman.

Lebih menyedihkan, mangsa tidak sempat menggenggam segulung ijazah kerana pengajiannya hanya berbaki dua minggu sahaja sebelum tamat pengajian.

Arwah mahu bawa balik motosikal

DALAM pada itu, bapa mangsa, Ramli Abdullah, 51, tidak menyangka hasrat arwah anaknya untuk membawa pulang motosikal ke rumah mereka di Paka, Dungun bertukar menjadi peristiwa duka.

“Arwah janji dengan saya untuk balik hantar motosikal pada waktu petang. Katanya, dia kurang selesa bawa motosikal, lagipun sementara tunggu tamat belajar, dia mahu tumpang kereta rakannya ke kuliah.

“Tapi kira-kira jam 7.30 petang semasa saya sedang menunggu arwah tiba di rumah, ada orang hubungi saya dan beritahu tragedi menimpanya,” kata Ramli ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kemaman.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada 24 Mac lalu dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

“Biasanya setiap Jumaat dan Sabtu arwah akan pulang ke rumah tetapi minggu ini dia tidak pulang kerana siapkan projeknya,” katanya.

Pada semester pengajian lalu Muhammad Fadzlan mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 dan merupakan salah seorang penuntut yang disasarkan mendapat Anugerah Dekan.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan dalaman dan jenazah kemudiannya dikebumikan din Tanah Perkuburan Limbong, Dungun kira-kira jam 2 pagi.

Sinar Harian 2 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment