April 2, 2013

Remaja maut kenderaan terbabas di laluan bertentangan




Asrul Ezuan melihat keadaan pacuan empat roda yang terpelosok bawah bas ekspress yang dipandunya dalam nahas di Kilometer 140.5 Jalan Pintasan Kuala Terengganu-Kuantan.


KIJAL – Seorang remaja lelaki maut dalam satu kemalangan yang berlaku di Kilometer 140.5, Jalan Pintasan Kuala Terengganu-Kuantan di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong yang membabitkan sebuah pacuan empat roda dan sebuah bas ekspres.

Mohd Sakhrullah Kamaludin, 19, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Kemaman pada jam 9.59 malam, selepas pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandunya merempuh sebuah bas ekspres di laluan bertentangan.

Ketika kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, mangsa yang beralamat di Rumah Murah Kemasik, dipercayai mengantuk menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum terperosok di hadapan bas terbabit yang dinaiki 11 penumpang.

Pemandu bas, Asrul Ezuan Abd Malik, 30, berkata, dalam jarak kira-kira lima meter dia melihat pacuan empat roda itu masuk ke laluannya menyebabkan dia hanya sempat mengelak sedikit.

“Waktu lihat pacuan empat roda itu melencong masuk ke laluan kami, saya dan penumpang hanya mampu jerit ‘Allahu Akbar’ kerana terlalu terkejut.

“Dalam jarak yang sangat dekat ini, saya hanya mampu mengelak sedikit dan menekan brek kerana bimbang bas masuk cerun," katanya sambil meluahkan rasa syukur kerana semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk dirinya.

Bas ekspres berkenaan berlepas dari Kuantan kira-kira jam 2.15 dan dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan dalaman selain patah tangan dan kaki.

Sinar Harian 2 Apr 2013















0 comments:

Post a Comment