April 23, 2013

Seorang maut dalam pergaduhan di Kuching

Mohammad Syamsul Izwan Mohammad Suhaili


Anggota forensik bersedia untuk melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian. Gambar The Borneo Post



Sumber foto dari See Hua Daily News


Sumber foto dari See Hua Daily News

KUCHING - Seorang lelaki dari Kampung Bintawa Ulu, Petrajaya terbunuh dalam satu pergaduhan di hadapan bangunan Baitulmakmur malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Roslan Bek berkata Mohammad Syamsul Izwan Mohammad Suhaili, 24, ditemui dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah di atas konkrit.

"Pihak polis telah menerima maklumat berkaitan satu pergaduhan kira-kira 10.20 malam dan mangsa disahkan meninggalkan dunia oleh pihak hospital yang juga tiba di tempat kejadian dengan ambulans," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Roslan berkata kira-kira enam jam kemudian, empat orang suspek berusia antara 21 hingga 23 tahun telah ditangkap di kampung Bako dan Samariang Baru.

"Polis turut merampas barang kes seperti sebuah motosikal milik si mati, sebuah motosikal milik salah seorang daripada suspek, pakaian milik empat suspek dan serpihan topi keledar yang pecah.

"Serpihan topi keledar tersebut dipercayai senjata yang digunakan dalam pergaduhan berkenaan," katanya.

Mangsa sudah berkahwin dan bekerja sendiri manakala keempat-empat suspek masih bujang.

Roslan berkata seorang lagi suspek sedang diburu dan dia dipercayai masih berada di Kuching.

Beliau berkata suspek dan mangsa dipercayai mengenali antara satu sama lain dan motif pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman bunuh. Kempat-empat suspek ditahan reman dan pihak polis sedang mengkumpul bukti untuk melakukan pendakwaan," katanya.

Roslan juga berkata kes tidak mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya. - Bernama

23 Apr 2013


Maut kepala dihentak helmet

KUCHING - Seorang lelaki menemui ajal dalam keadaan sadis apabila kepalanya dihentak dengan topi keledar hingga menyebabkan alat keselamatan itu pecah dalam pergaduhan yang berpunca daripada perselisihan faham di hadapan Bangunan Baitul Makmur, Petra Jaya di sini kelmarin.

Kejadian pukul 10.20 malam itu mengakibatkan Mohammad Syamsul Izwan Mohammad Suhaili, 24, maut di tempat kejadian selepas cedera teruk di muka dan kepala. Mangsa yang sudah berkahwin baru dibebaskan daripada penjara sejak sebulan lalu.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dan beberapa rakannya melepak di depan bangunan itu sebelum berlaku perselisihan faham dan bergaduh sesama mereka.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, siasatan mendapati, mangsa telah dipukul berkali-kali di kepala dengan topi keledar hingga mengakibatkan alat keselamatan itu pecah.

Kosmo 24 Apr 2013



0 comments:

Post a Comment