April 23, 2013

55 pelajar dikejarkan ke hospital akibat terhidu gas beracun


ALOR SETAR - Seramai 55 orang pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Seri Pantai di Kuala Kedah dekat sini dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini kerana disyaki terhidu gas beracun pagi tadi.
 
Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazalie berkata mereka terdiri daripada 50 pelajar perempuan dan lima pelajar lelaki.
 
"Pelajar-pelajar yang dihantar ke hospital oleh ambulans dan ibu bapa sendiri masih ditahan di wad kerana pihak kami masih tidak mengetahui punca sebenar. Jadi kami akan pantau keadaan mereka dahulu sebelum boleh benarkan mereka pulang.
 
"Pelajar-pelajar ini menunjukkan simptom-simptom seperti sesak nafas dan muntah-muntah tetapi semuanya berada dalam keadaan yang stabil," katanya ketika dihubungi.
 
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah Nazri Zakaria berkata bilik gerakan bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 9.38 pagi dan anggota bomba dari Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke lokasi kejadian.
 
"Baju pelajar-pelajar ini diambil untuk dikaji kerana alat pengesan gas tidak dapat mengesan sebarang gas beracun di kawasan sekolah sehingga 1 tengah hari dan kita dapati terdapat bahan kimia yang dipanggil 'acrolein' yang banyak digunakan dalam baja," katanya.
 
Beliau berkata pihaknya percaya gas bahan kimia itu datang daripada aktiviti membaja yang dilakukan pesawah di kawasan berhampiran kerana tidak dapat mengesan sebarang kebocoran di kilang baja berdekatan setelah siasatan dilakukan.
 
Pihak bomba sebelum itu membuat pemeriksaan menyeluruh di kawasan sekolah tetapi tidak menjumpai sebarang kebocoran yang berlaku.
 
Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Latt berkata sesi persekolahan di sekolah tersebut juga berjalan seperti biasa memandangkan punca kejadian bukan dari sekolah itu.
 
"Maklumat kita terima dari pihak Bomba, kawasan sekolah selamat dan sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa," katanya. - Bernama

23 Apr 2013


Insiden gas beracun berulang


KUALA KEDAH - Seramai 28 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai, di sini, dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana mengalami sesak nafas disyaki akibat terhidu gas beracun, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, semua pelajar sekolah berkenaan dipercayai baru sahaja selesai menghadiri perhimpunan pagi, bagaimanapun secara tiba-tiba sebahagiannya dipercayai berasa tidak sedap badan dan sesak nafas sebelum pengsan.

Mangsa, Siti Nur Fatin Afiqah Azizan, 17, berkata, mereka dikumpulkan di satu tempat selepas selesai perhimpunan dan ditanya mengenai keadaan mereka sama ada sihat ataupun tidak.

“Guru bertindak pantas bagi mengawal keadaan yang berlaku, dengan menyoal dan memeriksa badan setiap pelajar sama ada badan kami sihat ataupun tidak akibat terhidu gas yang dipercayai beracun itu.

“Malah, mereka memberi kebenaran untuk kami pulang ke rumah masing-masing untuk berehat, sementara pelajar yang tidak sihat diminta supaya segera ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut kerana didapati beberapa pelajar pengsan,” katanya.

Manakala, rakannya, Nurul Syalen Abdullah, 17, yang turut mengalaminya berkata, walaupun sihat dan dibenarkan balik akibat kejadian serupa pada Khamis lepas, dia masih pening dipercayai akibat kesan sampingan daripada terhidu gas beracun itu.

Bagaimanapun, katanya, dia masih meneruskan persekolahan seperti biasa semalam, sehinggalah insiden keracunan gas berulang lagi tanpa disedari sesiapa mahupun punca sebenarnya hingga mengakibatkan beberapa pelajar mengalami sesak nafas.

“Kebanyakan mangsa kali ini adalah pelajar yang sama dalam kejadian sebelum ini. Mungkin kerana kesannya masih ada namun sebahagian daripadanya tidak ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Lizawati Abu Bakar, 17, berkata, dia tidak menghidu bau kuat seperti dalam kejadian sebelum ini, namun secara tiba-tiba matanya menjadi kabur dan pedih, manakala tekaknya pahit serta badannya dirasakan tidak sihat sehinggalah pengsan tanpa disedarinya.

Sementara itu, Ketua Jabatan dan Pakar Kecemasan dan Trauma HSB, Dr Fatahul Laham Mohamad, berkata, seramai 28 mangsa yang dibawa ke hospital pada jam 10 pagi itu menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Katanya, kebanyakan pelajar yang mengalami keracunan gas terbabit dipercayai mangsa sama seperti sebelum ini, namun empat daripadanya adalah pesakit baru.

“Tiga pelajar lelaki dipercayai mengalami keracunan, manakala selebihnya adalah pelajar perempuan. Bagaimanapun, semua mangsa dilaporkan stabil, dan punca sebenar kejadian masih tidak diketahui,” katanya.

Pada 23 April lalu, seramai 58 pelajar tingkatan empat dan lima, seorang guru dan seorang waris dikejarkan ke HSB dipercayai terhidu gas beracun.

Sinar Harian 29 Apr 2013


0 comments:

Post a Comment