April 18, 2013

Pekerja bengkel dijel 12 bulan menyebabkan kematian lelaki


Kuala Lumpur: Seorang pekerja bengkel dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, awal bulan ini.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Ezuwan Mohd Sidek, 23, dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 8 April 2013.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Aszeman Jalaludin, 30, di pondok rehat PPR Pudu Ulu, Cheras dekat sini, jam 3 hingga 5 pagi pada 8 April 2013.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh memohon dikenakan hukuman ringan kerana dia pesakit barah otak dan sudah insaf.

myMetro 18 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment