April 18, 2013

Letupan kimia makmal

ANGGOTA bomba menjalankan pemeriksaan rapi pada tong bahan kimia yang dipindahkan.


Kuala Lumpur: Sembilan belas pelajar dan dua guru Sekolah Menengah Dato Lokman, Jalan Kampung Pandan, di sini, dikejarkan ke hospital selepas pening serta muntah akibat terhidu bahan kimia luput tarikh yang dalam proses pemindahan untuk dilupuskan, semalam.

Kejadian itu berlaku selepas satu daripada lapan tong mengandungi 229 jenis bahan kimia dari makmal sekolah berkenaan, ada di antaranya tersimpan sejak 28 tahun lalu, tiba-tiba meletup dan terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.32 pagi sebelum sebuah jentera bomba dibantu pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika proses pemindahan 229 jenis bahan kimia berkenaan ke dalam lori untuk dihantar ke tapak pelupusan bahan buangan oleh Kualiti Alam Sekitar di Bukit Nanas, Negeri Sembilan.


“Ketika proses pemindahan dari bilik makmal sekolah ke lori dijalankan, satu daripada lapan tong berisi botol kecil pelbagai jenis bahan kimia seberat 250 kilogram yang sudah dimasukkan ke dalam lori meletup dan terbakar.

myMetro 18 Apr 2013


Batal mengajar


ANGGOTA bomba bergegas ke SMK Datok Lokman di Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur selepas menerima maklumat mengenai sisa kimia terbakar dan meletup semalam.

KUALA LUMPUR - Suasana aman di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman di Jalan Kampung Pandan di sini bertukar kecoh apabila 21 warganya mengalami muntah-muntah dan sesak nafas selepas terhidu asap beracun semalam.

Kejadian pukul 11.32 pagi itu berlaku apabila salah satu daripada lapan tong bahan sisa kimia terbakar dan meletup ketika hendak dipunggah ke dalam lori khas yang berada di dalam kawasan sekolah oleh dua pekerja.

Tong itu hendak dibawa ke loji pelupusan bahan kimia di Bukit Nanas, Negeri Sembilan.

Tong itu mengandungi 229 jenis sisa bahan kimia seperti ammonia, magnesium, sodium dan zink.

Ketika kejadian, enam tong tersebut telah diletakkan ke dalam lori sebelum salah satunya terbakar.

Lori tersebut berada dekat dengan makmal dan bahan kimia itu kepunyaan sekolah yang hendak dilupuskan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menggunakan serbuk kering untuk memadamkan api dari merebak ke tong lain.

Kosmo 18 Apr 2013




0 comments:

Post a Comment