April 18, 2013

2 beranak nyaris rentung dalam kebakaran rumah setinggan di Kepong


ANGGOTA bomba sedang memadam kebakaran yang melibatkan tujuh buah rumah dan sebuah stor barangan perabot di Jalan Kepong, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Dua beranak nyaris rentung apabila rumah papan setingkat yang dihuni mereka di Jalan Kepong di sini musnah dijilat api hari ini.
 
Kejadian pada kira-kira 10.30 pagi itu turut menyebabkan tujuh keluarga yang mendiami rumah berkenaan hilang tempat tinggal selain memusnahkan sebuah stor perabot berdekatan, kata Ketua Operasi Balai Bomba Jinjang Zainal Abidin Mukri.
 
"Empat jentera dan 35 anggota dari Balai Bomba Jinjang, Hang Tuah, Taman Tun dan Chow Kit dihantar ke kawasan itu, dan kami dapat mengawal kebakaran dalam masa 10 minit," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
 
Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.
 
Sementara itu, mangsa, Anna Chiew, 45, berkata ketika kejadian, beliau dan anak perempuannya yang berusia 15 tahun berada dalam rumah dan menyedari kebakaran berkenaan selepas mendengar salakan anjing.
 
"Semasa saya melihat di belakang rumah, api sudahpun marak dan menyambar pokok di belakang rumah saya. Kami segera menyelamatkan diri," katanya sambil menambah ketika kejadian, anggota keluarga yang lain keluar bekerja.
 
Suri rumah itu juga berkata keluarganya kerugian kira-kira RM70,000 dan mendakwa kebakaran berpunca daripada pembakaran sampah secara terbuka.- Bernama

17 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment