March 4, 2013

Tulang belakang, kaki patah jatuh pokok duku



Kuala Terengganu: “Saya tak minta lebih, cuma mahu berjalan seperti dulu,” kata Mohammad Sazali Mohammad, 34, yang terlantar sejak dua minggu lalu selepas tulang belakang dan pergelangan kaki kanannya patah akibat terjatuh dari pokok duku setinggi enam meter di Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu.

Ketika ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam, Mohammad Sazali berkata, kejadian jam 3.30 petang pada 14 Februari lalu, dia memanjat pokok duku di hadapan rumahnya untuk memetik buahnya sebelum diagih kepada saudara-mara.

“Ketika di atas pokok, saya memegang buah duku dan cuba berjalan di atas dahan untuk meletakkan buah berkenaan ke dalam bungkusan kain yang diikat pada dahan lain dan ketika itulah, dahan yang dipijak patah.

“Bahagian belakang badan saya terlebih dulu terhempas pada dahan besar pokok duku itu sebelum terjatuh pula ke atas tanah,” katanya yang bertugas sebagai bilal di masjid kampungnya.

Menurutnya, dia tidak mampu berdiri sebaik terjatuh dari pokok sebelum dibantu rakannya yang kebetulan berada di tempat kejadian sebelum dihantar ke HSNZ untuk rawatan.

myMetro 4 Mac 2013

0 comments:

Post a Comment