April 1, 2013

Pesanan terakhir arwah abang


Arwah Izman diusung untuk solat jenazah.

KANGAR - “Kelakuan arwah malam (kelmarin) agak pelik kerana dia tidak henti-henti suruh menjaga emak jika dia tiada nanti dan berulang kali memohon maaf sekiranya pernah melakukan salah dan silap kepada keluarga.

“Namun saya tak sangka itu kali terakhir saya tatap wajah arwah pergi menghadap Ilahi buat selamanya,” luah Izzati Aina, 14, adik kepada Izman Arif, 15, yang maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah lori di Jalan Sungai Bharu menghala ke Padang Besar Selatan.

Menurut Aina, kebiasaan, abangnya jarang menunjukkan gambar disimpannya di telefon bimbit, namun semalam sebelum kejadian, dia tidak semena-mena menunjukkan gambar simpanannya sebelum keluar dari rumah menuju ke kelas tuisyen.

“Apabila dia (abang) menunjukkan gambarnya, saya hanya balas akan jaga emak kerana emak abang, emak Aina juga.

“Memang banyak perubahan arwah sejak kebelakangan ini kerana arwah kurang bercakap dan asyik termenung. Sebelum ini, dia seorang ceria dan peramah dengan keluarga,” katanya yang tidak mampu menahan sebak menceritakan kejadian berkenaan.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa yang dirempuh sebuah lori empat tan bersama ibunya Che Anita Che Man, 37, ketika itu dalam perjalanan pulang selepas mengambil Izham dari pusat tuisyen berdekatan.

Namun, ibu mangsa yang cedera di beberapa bahagian badan dibenarkan pulang selepas dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), dekat sini, semalam.

“Saya hanya dapat maklumat kemalangan itu lepas seorang saksi di tempat kejadian hubungi saya,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian segera menghubungi bapanya yang ketika itu berada di Arau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan laporan kemalangan berkenaan yang berlaku kira-kira jam 10.35 malam, kelmarin.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang dua beranak itu dari arah Sungai Bharu ke Padang Besar Selatan melanggar belakang sebuah lori dari arah sama.

“Mangsa seorang remaja lelaki maut di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala seorang wanita yang juga ibunya, mengalami kecederaan dalaman sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian 1 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment