April 1, 2013

Seorang maut dalam kemalangan tiga kenderaan


Keadaan kereta mangsa selepas perlanggaran tersebut. 

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

BESUT - Seorang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Simpang Empat Tanjung Demong, Jalan Pengkalan Nyireh – Bukit Keluang, di sini kelmarin.

Pemandu kereta Proton Iswara, Mohd Talmini Mohamad, 30, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, mangsa yang bekerja kontrak bersama seorang rakan, Nurul Sabirah Abd Rahman, 24,  beralamat di Seberang Jertih duduk di kerusi penumpang hadapan dalam perjalanan dari arah Kampung Limbongan ke Tanjung Demong.

Menurutnya, apabila sampai di tengah simpang, muncul sebuah kereta jenis Mercedes dari arah Pengkalan Nyireh lalu merempuh sisi kiri kereta mangsa.

“Akibat rempuhan, menyebabkan kenderaan terbabit berpusing dan kereta mangsa terbabas ke arah sebuah lori dan yang berhenti di persimpangan dari arah Tanjung Demong.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang kereta cedera sebelum dikejarkan ke Hospital Besut,” katanya.

Kamaruddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum mangsa yang beralamat di Kampung Lubuk Chekok, Pasir Mas, Kelantan, dituntut keluarga.

Beliau berkata, pemandu Mercedes dari Kampung Pengkalan Nyireh berusia 67 tahun dan pemandu lori ais berusia 29 tahun dari Chendering, Kuala Terengganu tidak mengalami kecederaan.

Pasukan bomba dan keselamatan terpaksa dipanggil untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 1 Apr 2013

0 comments:

Post a Comment