March 26, 2013

Anggota polis trafik maut dengan leher hampir putus terkena kabel elektrik melintang

Korperal Samuel Adruce


Ilustrasi menunjukkan bagaimana kemalangan tersebut berlaku hingga menyebabkan kematian seorang anggota polis trafik – Grafik oleh See Hua Daily News


Seorang kakitangan Sesco menunjukkan kabel besi yang menyebabkan kemalangan tersebut.


Lokasi kejadian di mana kabel merintangi jalan menyebabkan leher mangsa hampir putus - Foto oleh See Hua Daily News


Sibu: Seorang anggota polis trafik yang dalam perjalanan menyertai perbarisan sempena Hari Polis Ke-206 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, di sini, maut apabila lehernya hampir putus akibat terkena kabel elektrik yang melintang di Jalan Wawasan, Sungai Merah, semalam.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi berlaku ketika Koperal Samuel Adruce, 34, yang lengkap berpakaian seragam dikatakan menunggang motosikal dari rumah di Balai Polis Sungai Merah untuk ke IPD Sibu.

Sebaik tiba di tempat kejadian berhampiran Lorong 8, Jalan Wawasan, di sini, mangsa dipercayai tidak menyedari kabel elektrik yang tergantung rendah menyebabkan lehernya tersangkut.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah sehingga tulang tengkuknya patah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mangsa yang menunggang bersendirian tidak menyedari kabel elektrik yang merentangi jalan selepas tiangnya dipercayai patah.

Menurutnya, keadaan jalan yang gelap turut menyumbang kepada kejadian itu.

“Saya terkilan dengan kejadian menimpa mangsa kerana ia berlaku ketika dia begitu bersemangat menyertai perbarisan Hari Polis yang disambut di seluruh negara hari ini (semalam),” katanya.

myMetro 26 Mac 2013

1 comment:

  1. sampai sekarang kes ini masi belum selesai..mohon tindakan diambil bagi pihak yang bertanggungjawab!!!!!!!!

    ReplyDelete