February 14, 2013

Tragedi konvoi ke Pulau Sibu

RAKAN mangsa, Nina Baharun mengambil barangan daripada kereta yang remuk. Gambar kecil : Salihu Syabab Abdul Sattai. Foto myMetro dan Berita Harian

Batu Pahat: “Saya nekad memandu secara melawan arus untuk ke tempat kemalangan, namun usaha itu masih gagal menyelamatkan nyawa anak dan adik saya.”

Demikian kata Sahlul Mahfudz Abdul Sattai, 23, yang kehilangan dua insan tersayang akibat kemalangan di Kilometer 86.2, Lebuhraya Utara-Selatan antara Yong Peng-Ayer Hitam, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, anak Sahlul Mahfudz yang berusia dua tahun, Mohamad Iztiyad Bisyari meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, manakala adiknya, Salihu Syabab Abdul Sattai, 20, menemui ajal di tempat kejadian.

Sahlul Mahfudz berkata, sejurus tiba di lokasi kemalangan dengan memandu kereta BMW miliknya secara melawan arus kira-kira satu kilometer, dia mendapati anak dan adiknya berada dalam keadaan parah.

“Saya segera membawa mereka ke hospital, namun diberitahu adik saya sudah meninggal dunia manakala anak saya menyusulinya sebaik tiba di hospital,” katanya.

myMetro 14 Feb 2013


Nahas berlaku di laluan lurus

Batu Pahat: “Lokasi kejadian di jalan lurus, jadi polis masih melakukan siasatan lanjut untuk mengetahui punca kemalangan,” kata Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu yang menyebabkan kematian Mohamad Iztiyad Bisyari Sahlul, dua tahun dan bapa saudaranya, Salihu Syabab Abdul Sattai, 20, berlaku apabila kereta Mini Cooper dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Tiga lagi mangsa dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang dan mayat kedua-dua mangsa sudah dituntut keluarga untuk dikebumikan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.

myMetro 14 Feb 2013


2 maut kereta hilang kawalan

Batu Pahat: Seorang lelaki dan anak saudaranya yang berusia dua tahun maut apabila Mini Cooper S dinaiki terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan di Kilometer 86.2 Lebuh Raya Utara Selatan, antara Yong Peng-Ayer Hitam di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu, Salihu Syabab Abdul Sattai, 20, mati di tempat kejadian, manakala Mohamad Iztiyad Bisyari Sahlul Mahfudz, meninggal dunia di Hospital Kluang.

Hilang kawalan

Tiga lagi penumpang kereta berkenaan iaitu kakak Mohamad Iztiyad Bisyari, Izdihar Balqis, 5, cedera parah.

Ibu dua beradik itu, Nurul Fatin Yaacob, 24, yang memandu kereta berkenaan dan seorang lagi yang dikenali Sharafudin, cedera ringan.

Sharafudin adalah bapa saudara kepada dua kanak-kanak berkenaan. Mereka dikatakan dalam perjalanan bercuti di Mersing.

Kereta itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan berpusing beberapa kali, lalu merempuh besi pembahagi lebuh raya dan memasuki laluan bertentangan hingga menyebabkan remuk.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata punca kemalangan masih dalam siasatan dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis difahamkan, keluarga itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke arah Johor Bahru sebelum terbabit dalam kemalangan itu, katanya.

Di Melaka Tengah, seorang maut, manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki merempuh belakang lori simen di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

Pemandu kereta, Tee Hiap Kiong, 48, dari Masjid Tanah, mati di tempat kejadian, manakala isterinya, Ker Lay Chern, 46, dan anaknya, Tee Woan Yng, 17, cedera parah.

Ziarah keluarga

Seorang lagi anak pasangan itu, Tee Xiin Ru, 16, cedera ringan, manakala pemandu lori simen, Mohd Aris Isnin, 47, tidak mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata kemalangan berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menziarah keluarga di Sungai Mati, Muar, sempena Tahun Baru Cina.

Katanya, siasatan awal polis mendapati PROTON Wira itu merempuh lori berkenaan yang berhenti untuk memasuki persimpangan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Thambi Hitam, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada jam 9.08 malam.

Sepasukan 10 anggota dikejarkan ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Kami mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa wanita, manakala 15 minit untuk mengeluarkan pemandu, katanya.

Berita Harian 14 Feb 2013



0 comments:

Post a Comment