February 14, 2013

Maut ditikam rakan serumah


Polis memeriksa warga Myanmar yang maut ditikam rakan serumah sendiri di Medan Selera Taman Perindustrian Maju Jaya, di sini, lewat malam kelmarin.

PUCHONG – Akibat perselisihan faham, seorang buruh kilang warga Myanmar maut ditikam rakan serumahnya di medan selera Taman Perindustrian Maju Jaya, di sini, lewat malam kelmarin.

Difahamkan, sebelum itu, kedua-duanya dilihat bertengkar di tepi jalan sebelum masuk ke kawasan kedai makan dipenuhi kira-kira 30 pelanggan dan pekerja.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Azhar berkata, kedua-duanya terus bergaduh dan tidak mempedulikan orang ramai yang melihat kejadian itu.

Katanya, salah seorang daripada dua warga Myanmar itu dikatakan tiba-tiba jatuh ke lantai dalam keadaan berlumuran darah sebelum cuba diselamatkan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Dalam keadaan cemas itu, Azhar berkata, pelanggan yang sedang makan cuba memberi rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan dari mulut ke mulut kepada mangsa.

Namun menurutnya, mangsa yang cedera di beberapa bahagian tubuh badan disahkan meninggal beberapa minit selepas itu.

“Lelaki yang bertengkar dengan mangsa kemudian dilihat melarikan diri selepas kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, beliau menerima maklumat kira-kira jam 11.10 malam sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa, Aung Thu, 32, dipercayai ditikam sebanyak tiga kali masing-masing dua di dada dan satu di bahagian kiri perut.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tikaman dipercayai menggunakan pisau pemotong.

Yahaya berkata, suspek dan mangsa dipercayai berselisih faham serta mabuk semasa kejadian berlaku.

Saksi kejadian katanya, memaklumkan suspek melarikan diri dengan berjalan ke kaki ke arah lebuh raya.

“Dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K-9) suspek berusia 33 tahun bekerja sebagai pelayan restoran berjaya diberkas di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berdekatan Bukit Puchong kira-kira jam 1 pagi ketika cuba menumpang kenderaan orang awam.

“Senjata digunakan dan pakaian dipakai turut dirampas bagi membantu siasatan. Mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

Sinar Harian 15 Feb 2013


Polis Tahan Lelaki Myanmar Bunuh Rakan

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki Myanmar yang disyaki menikam rakan serumahnya sehingga mati pergaduhan di Medan Selera Maju Jaya, Taman Perindustrian Puchong dekat sini, pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata lelaki berumur 33 tahun itu ditahan ketika cuba melarikan diri di Lebuhraya Damansara Puchong menuju ke arah Bukit Puchong kira-kira pukul 1 pagi Khamis.

Beliau berkata mangsa yang dikenali sebagai Aung Thu, 32, bekerja sebagai buruh kilang di Taman Perindustrian Puchong dekat sini adalah rakan segenara dan tinggal serumah dengan suspek.

Mohd Adnan berkata mangsa disahkan mati sebaik tiba di Hospital Serdang akibat kecederaan parah di dada, perut dan pergelangan tangan kiri.

"Polis mendapat maklumat daripada orang ramai yang menelefon dan memaklumkan kejadian itu sebelum bergegas ke lokasi serta mendapati mangsa telah terbaring dan tidak sedarkan diri.

"Siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai pelayan restoran di medan selera itu dikatakan bertengkar dengan mangsa," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Khamis.

Polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Suspek direman bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. BERNAMA

14 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment