February 14, 2013

Pendaki Gunung Tahan maut akibat sesak nafas



KUANTAN - Seorang pendaki dilaporkan mati malam tadi selepas mengalami sakit dada dan sesak nafas ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan dekat Kuala Lipis.
 
Mangsa menyertai pendakian bersama 23 pendaki lain sejak Isnin lalu.
 
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan, mangsa yang berusia 35 tahun itu disahkan meninggal kira-kira 9.30 malam.
 
"Pihak bomba dimaklumkan tentang kejadian pada pukul 8.45 pagi tadi. Usaha untuk membawa turun mayat mangsa sedang diusahakan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
 
Beliau berkata pihaknya mengalami kesukaran untuk berhubung dengan pasukan pendaki itu berikutan cuaca buruk.

"Helikopter bomba gagal memasuki kawasan hutan berkenaan berikutan hujan lebat. Semua pendaki telah diarahkan turun mengikut jalan darat.
 
"Hanya dua pendaki ketika ini berada di Kem Belumut bersama jenazah. Operasi menggunakan helikopter bagi membawa mayat mangsa keluar dari kawasan hutan mungkin hanya dapat disambung esok pagi," katanya.
 
Sementara itu jurucakap polis Daerah Lipis berkata pihak polis juga sedang mendapatkan butiran lanjut berkenaan kumpulan pendaki itu serta identiti mangsa.
 
"Pihak polis menerima maklumat tentang kejadian kira-kira 11 malam tadi. Bagaimanapun operasi untuk membawa keluar semua pendaki itu mengalami kesukaran berikutan hujan lebat serta kedudukan mereka yang jauh di dalam hutan," katanya. - Bernama


14 Feb 2013


Lelaki meninggal daki Gunung Tahan

Kuala Lipis: “Saya penat. Boleh kita berehat sekejap?,” kata kakitangan sebuah syarikat insurans di Klang, Selangor, sebelum dia tiba-tiba rebah dan meninggal dunia kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, ketika mengikuti ekspedisi mendaki Gunung Tahan di sini.

Amir Kamaruzaman Abdul Wahab, 35, berkata demikian kepada jurupandu ekspedisi, Sabri Zoo, 25, dipercayai kerana terlalu penat ketika mendaki pada ketinggian 1,493 meter selepas empat hari berada di Taman Negara.

Bagaimanapun, sehingga jam 6 petang semalam, usaha mengeluarkan jenazah mangsa gagal berikutan cuaca di sekitar Jerantut dan Lipis masih buruk dengan hujan serta angin kencang yang menyukarkan operasi menyelamat.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pihaknya sudah menghubungi Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat di Subang, Selangor, untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa pada jam 1.15 tengah hari semalam.

Menurutnya, usaha membawa keluar mayat mangsa bagaimanapun sukar kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan dengan kabus tebal menyebabkan anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa pulang ke pangkalan.

Katanya, polis juga gagal menghubungi jurupandu kumpulan ekspedisi itu untuk mengetahui kedudukan sebenar mereka namun usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan selepas cuaca mengizinkan.

myMetro 15 Feb 2013



Mayat pendaki mati sejak Rabu lepas dibawa keluar dari kawasan hutan

KUANTAN - Jenazah pendaki Gunung Tahan yang meninggal dunia akibat sesak nafas pada Rabu lepas dibawa keluar dari kawasan hutan berkenaan hari ini.

Jenazah Allahyarham Amir Kamaruzaman Ab Wahab, 35, yang berada di Kem Belumut akhirnya dikeluarkan pada 11 pagi tadi menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Polis Daearah Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata helikopter yang membawa jenazah itu selamat mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford Kuala Lipis.

"Mayat arwah kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Arwah Amir Kamaruzaman bersama-sama 23 orang rakan pendaki yang lain dari Lembah Klang memulakan pendakian Gunung Tahan bermula di Taman Negara Relau, Merapoh dekat sini pada 11 Feb lepas.  

Mangsa dipercayai mengalami sesak nafas serta sakit dada sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke puncak antara Kem Kor dengan Kem Belemut pada aras ketinggian 1,406 meter pada 9.30 malam Rabu lepas.

Katanya operasi membawa keluar mangsa menggunakan helikopter berkenaan bermula pada Khamis, tetapi gagal kerana keadaan cuaca buruk.

"Operasi diteruskan lagi semalam namun gagal berikutan hujan lebat dan cuaca berkabus setelah tiga kali cubaan dilakukan.

"Syukurlah, pada pagi tadi cuaca kembali cerah di puncak berkenaan sehingga membolehkan operasi mengangkat mayat mangsa ke atas pesawat di udara setinggi 20 meter berjalan lancar tanpa apa-apa halangan," katanya.

Abdul Razak berkata pihaknya berterima kasih kepada semua anggota unit pasukan beruniform dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang turut terbabit dalam operasi berkenaan.  

Sementara itu, beliau meminta semua pendaki dan pengusaha pelancongan yang ingin membuat ekspedisi mendaki puncak Tahan supaya benar-benar membuat persiapan rapi khususnya terlebih dahulu menjalani pemeriksaan doktor sebelum melaksanakan kegiatan berkenaan.

"Saya juga ingin menasihatkan semua pendaki melaksanakan kegiatan berkenaan pada musim panas dan cuaca yang baik di samping menyediakan keperluan makanan yang secukupnya," katanya.

Katanya mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Lipis hari ini dan akan dibawa pulang anggota keluarga dan rakan rombongan pendaki untuk dikebumikan di kampungnya di Lembah Klang. - Bernama

16 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment