February 14, 2013

Balasan anak derhaka


KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur yang mengamuk dan mengugut ibunya untuk mendapatkan wang dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dikenakan selepas Muhammad Kamri Kamil, 29, mengaku bersalah menggunakan ugutan jenayah ke atas Ramlah Ismail, 51, di kediaman mereka di Batu 8, Jalan Kelantan, di sini, kira-kira jam 9 malam pada 30 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Noradila Ab Latiff manakala Muhammad Kamri tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, ayah Muhammad Kamri, Kamil Mustaffa, 49, berada di rumah dan ketika itu, Muhammad Kamri telah mengamuk dengan menjerit di dalam biliknya kerana anggota Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu mahu menangkapnya.

Muhammad Kamri yang cuba melarikan diri itu telah mengunci pintu biliknya dari dalam.

Sebelum itu, dia meminta wang dari ibunya, dan dia dikatakan mengugut dan mengamuk untuk mendapatkan wang.

Sekiranya permintaannya tidak dilayan, dia akan mengamuk dan akan mengacukan pisau atau benda-benda tajam serta mengugut mahu menikam mangsa.

Walaupun hanya satu ugutan, ayahnya bimbang keselamatan mereka sekeluarga pada masa akan datang dan telah membuat laporan polis.

Berikutan laporan yang diterima, pada 1 Oktober tahun lalu, lebih kurang jam 3.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Terengganu telah membuat serbuan di kediaman mereka untuk menangkapnya.

Bagaimanapun, Muhammad Kamri masuk ke bilik dan melibas pedang ke arah pegawai polis.

Sinar Harian 14 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment