January 31, 2013

Tangisan bongkar ‘sengsara’ remaja



Petaling Jaya: Tangisan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun membongkar kejadian dia diliwat seorang lelaki menyamar polis yang mengumpan mangsa dengan meminta menunjukkan tempat remaja menghidu gam di bangunan belum diduduki berhampiran PJCC, Taman Medan, di sini, Isnin lalu.

Kejadian malang menimpa mangsa hanya disedari bapanya kira-kira jam 6 petang ketika lelaki itu yang baru pulang ke rumah di Taman Sri Manja, di sini, dari tempat kerja mendapati anaknya sedang menangis dalam biliknya.

Menurut sumber, bapa mangsa berusia 41 tahun kemudian bertanya apa sebab menangis sebelum kanak-kanak itu menceritakan kejadian diliwat seorang lelaki sebelum ditinggalkan di padang bola berhampiran Flat Desa Sepakat, di sini.

“Mangsa mendakwa ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai, dia diekori seorang lelaki sehingga tingkat lima blok kediamannya.

“Lelaki terbabit menegur mangsa dan bertanyakan mengenai gejala menghidu gam di kalangan remaja di kawasan kediaman berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa mendakwa kawasan kediamannya memang banyak kes remaja menghidu gam sebelum lelaki terbabit memintanya menunjukkan lokasinya.

“Mangsa yang menyangkakan lelaki terbabit adalah anggota polis selepas melihat lencana dengan logo pasukan keselamatan itu bersetuju menunjukkan tempat remaja menghidu gam.

“Dia dibawa lelaki terbabit menaiki motosikal menuju bangunan kosong berhampiran PJCC sebelum dibawa ke kawasan sunyi dalam bangunan itu. Seluar mangsa dilucutkan dan diliwat,” katanya.

Sumber berkata, selepas memuaskan nafsunya lelaki terbabit menghantar mangsa pulang.

“Mangsa kemudian pulang sendiri ke rumah dan masuk ke bilik sebelum menangis sehingga disedari bapanya.

Bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya sebelum membawa mangsa ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk rawatan.

myMetro 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment