January 31, 2013

Tak sempat ragut kali ketiga


BERA - Polis berjaya menangkap seorang penganggur berusia 27 tahun yang dipercayai turut terlibat dalam dua kes ragut di sekitar Triang pada 25 dan 26 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Yusof berkata, suspek ditahan di kawasan berdekatan bangunan CIMB dan Maybank dekat Triang ketika berlegar-legar dengan sebuah motosikal jenis Honda Wave dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, suspek didapati memiliki sebilah pisau sepanjang 18 sentimeter dalam raga motosikalnya, selain kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Siasatan awal mendapati suspek turut terlibat dengan dua kejadian kes ragut yang dilakukan selama dua hari berturut-turut iaitu pada 25 Januari dengan bertindak meragut beg tangan seorang pekerja wanita di sebuah kedai cermin mata semasa mangsa sedang menutup kedai di Jalan Bandar Triang Lama.

“Sementara pada keesokan harinya pula, suspek mengugut seorang lagi mangsa wanita dengan pisau setelah gagal meragut beg tangan milik mangsa di Jalan Lama Temerloh-Bahau, dekat Taman Triang Maju,” katanya kepada media selepas Program Perhimpunan Bulanan PDRM, semalam.

Zakaria berkata, pihaknya percaya suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu untuk mengelirukan pihak polis, selain menutup kegiatannya di mata masyarakat.

Katanya, suspek yang beralamat di Taman Seri Bera, Kerayong itu sudah berkeluarga tetapi tidak mempunyai pekerjaan.

“Suspek ditahan reman selama empat hari untuk disoal siasat dan sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen Samun 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kes jenayah yang direkodkan dari 1 Januari hingga semalam berjumlah 18 kes dengan tiga kes berjaya diselesaikan.

Pada program semalam, seramai 21 anggota dan tiga kakitangan awam menerima Sijil Anugerah Khidmat Cemerlang sementara 15 orang awam menerima sijil penghargaan atas usaha mereka mewujudkan pentas dan landskap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment