January 17, 2013

Saya tidak pernah bunuh sesiapa - Tertuduh


SHAH ALAM 16 Jan. - Tertuduh keempat, R. Kathavarayan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pertuduhan membunuh yang dikenakan ke atasnya adalah salah dan tidak adil.

Ini kerana, pekerja Ladang Gadong itu mendakwa dia tidak membunuh sesiapa pun pada 30 Ogos 2010.

Sambil menyatakan mengetahui dia diletakkan di kandang pesalah bersama-sama majikannya, N. Pathmanabhan dan dua lagi pekerja ladang kerana didakwa membunuh, saksi itu memberitahu, keterangannya sejak Isnin lalu adalah benar.

Bagaimanapun, Kathavarayan, 32, mengakui tidak semua keterangan yang diberikan di mahkamah dimaklumkan kepada pihak polis.

Saksi pembelaan keempat itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam bela, Manjeet Singh Dhillon pada pemeriksaan utama peringkat bela diri pada perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi.

Tertuduh itu bersama-sama majikannya dan dua lagi tertuduh, T. Thilaiyalagan, 22, serta R. Matan, 23, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Pada prosiding hari ini, Kathavarayan sekali lagi memaklumkan mahkamah bahawa wanita yang dilihat di sebuah restoran di Tanjung Sepat, Banting adalah Sosilawati.

Katanya, selepas melihat wanita itu, tertuduh yang turut dikenali dengan nama Ravi ada bertanya kepada majikannya bagi mendapatkan kepastian.

Terdahulu pada awal prosiding, Kathavarayan memberitahu, ketika ditahan oleh pihak polis dia ada ditunjukkan kira-kira tujuh keping gambar dengan tiga daripadanya dikenali kerana pernah beberapa kali menemui mereka.

Tiga individu terbabit ialah Syafiq, Raj dan Muthuraja.

Menjawab pertanyaan peguam belanya, Hasshahari Johari Mawi, Kathavarayan memaklumkan Syafiq dan Raj merupakan kawan kepada Pathmanabhan manakala Muthuraja adalah saudara kepada majikannya itu.

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun tiada di ladang terbabit pada malam Sosilawati dan tiga rakannya dikatakan telah dibunuh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok.

Utusan 17 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment