January 31, 2013

Nasi ayam ada bakteria koliform


AYER KEROH - Gara-gara menjual makanan mengandungi bakteria koliform, dua pengusaha kantin sekolah berasingan di negeri ini  dijatuhi hukuman denda masing-masing RM6,000 dan RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Tertuduh, Tan Boon Nee, 51, dan Pang Kin Lin, 62, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap masing-masing tiga dan satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.

Boon Nee yang berhadapan tiga pertuduhan, didapati menjual ayam nasi ayam yang mengandungi kiraan koliform sebanyak 9,000 cfu/g, ayam goreng (4,000 cfu/g) dan sosej ayam keju (23,000 cfu/g) kepada pegawai berkuasa, P Ganesan.

Bakteria koliform biasanya menyebabkan pesakit mengalami demam, kejang perut, cirit-birit yang ada kalanya bercampur darah serta jangkitan kuman pada usus dan uterus.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C) Cheng kira-kira jam 9.10, 9.15 dan 9.20 pagi pada 2 Ogos 2011.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13B(1) yang dibaca bersama Seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983 (Pindaan) 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13B(4) akta sama, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili pelatih dalam kamar (PDK) merayu mahkamah mengurangkan denda berikutan tertuduh janda dan perlu menyara dua anak.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Kesihatan negeri, Che Saipolliza Derman meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira keselamatan murid.

“Selain membabitkan sekolah dan keselamatan kanak-kanak, saya mohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada pengusaha kantin sekolah yang lain supaya lebih menjaga kebersihan,” katanya.

Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua-dua belah pihak, Majistret Syajaratudur Abd Rahman kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau satu bulan penjara bagi setiap pertuduhan dihadapi Boon Nee.

Sementara itu, dalam prosiding berbeza, Kin Lin didakwa menjual sosej ayam mengandungi 160 cfu/g di kantin Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Malim kira-kira jam 10.05 pagi pada 2 Ogos 2011.

Kin Lin yang didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen yang sama turut memohon hukuman diringankan kerana kurang berkemampuan.

Syajaratudur kemudian mengarahkan tertuduh didenda RM2,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan dihadapinya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment