January 31, 2013

Kaki lembik selepas 40 hari

Che Narma menghabiskan masanya di atas katil akibat penyakit kencing manis dan saraf, dengan ditemani anak kedua di Kampung Pangkal Mempelam, di sini.

MACHANG - Seorang ibu muda, Che Narma Daud, 30, terpaksa bergantung hidup kepada suami dan dua anaknya bagi meneruskan hidup, apabila tidak dapat berjalan seperti biasa sejak tujuh bulan lalu di Kampung Pangkal Mempelam, di sini.

Che Narma berkata, kedua kakinya menjadi lembik selepas 40 hari dia melahirkan anak ketiganya akibat penyakit kencing manis dan masalah saraf.

Katanya, akibat masalah itu, dia terpaksa menyerahkan bayinya kepada kakak ipar yang tinggal berdekatan.

“Saya langsung tidak boleh berdiri apatah lagi berjalan.

“Kehidupan saya hanyalah di atas katil ini sehinggalah saya mendapat bantuan kerusi roda yang disampaikan Ketua Umno Bahagian Machang, baru-baru ini.

“Jika suami keluar bekerja, saya hanya akan duduk di atas katil ini, dengan ditemani anak kedua yang berusia lima tahun,” katanya.

Che Narma berkata, anak kecil itulah yang akan membantunya jika dia ingin membuang air besar dan kecil.

Menurutnya, dia  tidak menggunakan lampin pakai buang, memandangkan tiada siapa yang boleh menukarkan untuk dirinya, di samping harganya yang mahal.

“Anak saya akan mengambil besen dan dialah yang membuangkannya ke tandas. Suami tidak dapat menjaga saya sepenuh masa, memandangkan dia perlu bekerja mencari nafkah buat keluarga.

“Sebelum keluar bekerja, dia menyediakan semua keperluan saya termasuk makanan,” katanya.

Che Narma berkata, ketika sihat, dia melakukan pelbagai pekerjaan termasuk berniaga dan pembantu kedai makan bagi mencari rezeki  membantu meringankan beban perbelanjaan suami.

Katanya, biarpun berat untuk ditelan namun dia menerima dugaan tersebut dengan redha, dan berharap akan sembuh suatu hari nanti demi anak-anak yang sedang membesar.

Menurutnya, anak sulung, Nor Asyikin Akmal Mohd Aswadi, 9, banyak membantunya termasuk memasak nasi dan hidangan tengah hari untuk keluarga selepas balik dari sekolah, memandangkan suaminya bekerja hingga lewat petang.

“Saya kasihankan keluarga terutamanya anak-anak. Sepatutnya saya yang menjaga mereka, namun sebaliknya berlaku.

“Dengan pendapatan yang tidak menentu suami, dia terpaksa menanggung beban perbelanjaan yang bukan sedikit, apatah lagi kami juga tinggal di rumah sewa dan membuat sedikit pinjaman Amanah Ikhtiar memandangkan saya berniaga sebelum jatuh sakit.

“Adik beradik turut membantu kami, namun mereka juga hidup susah,” katanya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment