January 17, 2013

Berhati-hati sindiket pancit kereta


KAMPAR 16 Jan. - Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan wang dalam jumlah yang banyak berseorangan di mana-mana bank terutamanya menjelang Tahun Baru Cina ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, peringatan ini berikutan terdapat sindiket yang modus operandinya memancitkan tayar kenderaan mangsa sebelum menyamun wang tunai mereka dan jenayah itu dikesan setiap kali musim perayaan.

"Mereka akan memancitkan tayar kenderaan dengan meletakkan paku dan apabila kereta bergerak, angin tayar akan berkurangan. Sebaik sahaja tayar pancit, penjenayah akan menghampiri dan berpura-pura ingin membantu mangsa yang menghadapi masalah.

"Sebaik sahaja keluar dari kenderaan untuk melihat tayar, penjenayah akan mendapatkan wang tunai mangsa yang ditinggalkan dalam kereta," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program High Profile Policing di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mortadza Nazarene dan turut dihadiri oleh Presiden UTAR, Prof. Datuk Dr. Chuah Hean Teik.

Pada majlis tersebut, Mordtaza turut menyampaikan cek ex-gratia kepada balu dan anggota polis yang ditimpa kecelakaan sewaktu bertugas.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, sekiranya mana-mana individu berdepan situasi tersebut, mereka dinasihatkan supaya tidak keluar daripada kenderaan, malah, menguncinya dari dalam.

Beliau berkata, sekiranya seseorang itu merasakan tidak selamat, mereka boleh menghubungi polis dengan menyatakan kedudukan mereka sebelum kereta peronda pihak berkuasa akan bergegas ke sana.

Terdahulu, sewaktu berucap pada majlis berkenaan, Mordtaza berkata, pihak polis mengakui masih kekurangan anggota dalam kalangan masyarakat keturunan Cina.

Selain itu, katanya, daripada 116,00 anggota polis ketika ini, 89.7 peratus daripadanya adalah lelaki dan 10.3 peratus pula terdiri daripada wanita.

Utusan 17 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment