January 17, 2013

Remaja kaki cabul ditahan

KUCHING 16 Jan. - Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas dipercayai mencabul kehormatan beberapa pelajar di atas jejantas berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Pending di sini sejak Oktober tahun lalu.

Suspek berusia 17 tahun ditahan ketika berada di atas jejantas sama oleh pengawal keselamatan sekolah tersebut bersama beberapa anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) kira-kira pukul 7 pagi ini.

Difahamkan, suspek sebelum ini telah beberapa kali mencabul kehormatan pelajar perempuan dengan cara memeluk dan menanggalkan seluar mangsa.

Mangsa kemudian melaporkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan sekolah namun usaha menangkapnya gagal kerana suspek bijak menyembunyikan diri.

Kegiatan tidak bermoral suspek dikatakan berterusan sehingga tengah hari semalam apabila seorang lagi pelajar perempuan mendakwa dicabul di lokasi sama.

Menurut mangsa tersebut, suspek berpura-pura menunggu seseorang di tepi pagar jejantas. Sebaik sahaja gadis itu berjalan melintasinya, suspek meluru dan memeluk mangsa.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Bintawa ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

"Remaja itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah di Simpang Tiga untuk tindakan lanjut. Susulan penahanan suspek, seorang lagi mangsa tampil di balai untuk melaporkan kes sama.

"Buat masa ini jumlah mangsa yang pernah dicabul suspek belum dapat dipastikan. Kita menjangkakan masih ada mangsa yang akan tampil membuat laporan," katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Utusan 17 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment