November 24, 2012

Ibu rindu kemesraan anak

RINI (kiri) memantau kesihatan Mohd. Oca di rumahnya di Taman Saujana, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang ibu tidak menyangka pelukan dan ciuman anak sulung lelakinya sebelum beredar menghantar makanan kepada ayahnya di sebuah tapak pembinaan di sini Ogos tahun lalu merupakan kemesraan terakhir antara mereka berdua.

Rini Mohd. Rashid, 38, berkata, dia kini merindui untuk mendengar suara anak kesayangan, Mohd. Oca Santosa Fauzan, 16, dan pergi ke sekolah, bermain bola setiap petang serta beriadah bersama rakan-rakan yang lain.

Menurut Rini, harapan itu barangkali tidak kesampaian kerana Mohd. Oca mungkin akan kekal selamanya terlantar di katil setelah tempurung kepalanya terpaksa dibedah dan dikeluarkan akibat kemalangan ngeri dihempap kepingan blok yang dialaminya tahun lalu.

Mengimbas semula insiden yang menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu, suri rumah itu memberitahu, kejadian itu berlaku ketika anaknya menghantar nasi dengan lauk gulai daging untuk bapanya yang juga seorang buruh kasar, Fauzan Rahmad, 50, di tapak pembinaan di Setia Indah.

Kosmo 24 Nov 2012


Rindu telatah anak sulung

JOHOR BAHRU – Seorang bapa tidak menyangka tindakan anak sulungnya beriya-iya mengikutnya ke tapak pembinaan berakhir duka apabila dihempap kepingan blok sehingga hampir meragut nyawanya, dalam kejadian Ogos tahun lalu.

Fauzan Rahmad, 50 berkata, anaknya, Mohd Oca Santosa Fauzan, 16, ketika itu baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) nekad mengikutnya ke tempat kerja untuk mengisi masa terluang.

“Walaupun ditegah, dia tetap mahu mengikut saya ke tempat kerja kerana katanya bosan tanpa aktiviti di rumah, sedangkan sebelum ini dia gemar tidur semula selepas solat Subuh.

“Saya sangkakan anak saya ketika itu sudah mati apabila melihat bahagian kepalanya mengalami cedera parah selepas dihempap kepingan blok ketika membawakan makanan dan minuman yang dibeli di warung berhampiran.

“Saya bersyukur dia diberi peluang untuk hidup walaupun sudah tidak seperti dulu sehingga kadangkala membuatkan saya rindu untuk melihat telatahnya bermain bersama dua adiknya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Fauzan berkata, anaknya hanya mampu terlantar di katil dan dijaga sepenuhnya oleh isterinya, Rini Mohd Rashid, 38, setelah tempurung kepalanya terpaksa dibedah akibat kemalangan itu.

Jelasnya, anaknya yang dulunya seorang yang aktif perlu dilayan seperti bayi kerana hilang ingatan dan tidak mampu bercakap.

“Doktor cakap dia memang ada harapan untuk hidup, tapi perlu mengambil masa untuk sembuh.

“Sudah lebih setahun terlantar dia sudah mampu mengerakkan badannya dan memberi tindak balas setiap kali ditegur ibunya,” katanya.

Katanya, keadaan anaknya yang memakai lampin pakai buang dan mengharapkan susu yang disalurkan melalui tiub kadang-kala membataskan kemampuannya yang mencari rezeki sebagai buruh kasar.

“Saya mohon jasa baik mana-mana pihak yang boleh membantu menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggung kami sekeluarga,” katanya.

Sinar Harian 24 Nov 2012



Teringin lihat Oca berbaju raya

Oca sebelum kejadian.

Oca tersenyum setiap kali ditunjukkan ibunya baju raya terakhir yang dipakainya sebelum terlibat kemalangan. 

IBU mana yang tidak teringin melihat anak yang terlantar tidak bermaya bergaya dengan baju Melayu di hari raya.

Keinginan itu sentiasa berbunga di lubuk hati ibu kepada Mohd Oca Santosa Fauzan.

Bagaimanapun, hasrat itu hanya menjadi satu harapan yang belum pasti apabila Oca masih terlantar dan memerlukan penjagaan rapi selepas dihempap kepingan batu blok sejak dua tahun lalu.

Sejak itu, ibu Oca, Rini Suryandari Mohd Rasyid, 40, memberitahu, kemeriahan suasana hari raya tidak lagi dirasai mereka sekeluarga selepas Oca anak sulung berusia 17 tahun itu terlibat kemalangan.

Menurutnya, hidangan ayam kicap pada bulan Ramadan dan popia mini untuk hari raya yang menjadi kegemaran Oca hanya tinggal kenangan, namun tetap disediakan meskipun Oca tidak lagi mampu merasainya.

“Oca paling suka ayam kicap untuk sahur dan berbuka. Kalau tak ada lauk lain pun tak apal asal ada ayam kicap.

“Biasanya dua atau tiga hari sebelum raya, Oca akan merengek minta saya buatkan popia mini. Walaupun boleh dibeli di kedai, tapi dia tetap mahukan popia mini yang saya buat. Semua tu hanya tinggal kenangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bergenang air mata Rini melihat Oca memberikan senyuman setiap kali ditunjukkan baju raya terakhir yang dipakainya sebelum terlibat kemalangan.

Menurut Rini, hasratnya untuk memakaikan baju raya kepada Oca tidak dapat dilaksanakan. Oca  tidak boleh berbaju kerana akan alami kekejangan apabila panas.

“Saya selalu berdoa semoga Oca dikembalikan kesihatannya seperti dulu kerana saya teringin melihat Oca berbaju raya dan terlalu merindui telatahnya yang sentiasa meriuhkan keluarga,” katanya.

Sinar Harian hujung tahun lalu menyiarkan penderitaan seorang remaja yang terlantar dan memerlukan penjagaan rapi ibunya selepas dihempap kepingan batu blok di tapak pembinaan tempat bapanya bekerja.

Bapanya, Fauzan Rahmad, 51, tidak menyangka tindakan Oca beria-ia mengikutnya ke tapak pembinaan walaupun ditegah berakhir tragedi yang  hampir meragut nyawa, pada Ogos 2011.

Sinar Harian 10 Ogos 2013


10 comments:

  1. Ya Tuhan ku, Begitu terharu dgn keadaan nasib Mohd Oca.Kesetiaan seorang anak yg berbudi membantu keluarganya menerima nasib ini.Saya mempunyai anak sebaya dgn nya,dapat bayangkan pahit duka yg dilalui Mohd Oca dan Keluarganya.Dapat saya bayangkan kesedihan Puan Rani dan suaminya. Saya ingin mengulurkan bantuan sedaya upaya kepada keluarga Mohd Oca.Bolehkah sesiapa tahu alamatnya? Tolong emil ke, amsall708@gmail.com. Diharapkan pertolongan saya dapat mengrengankan beban keluarga Mohd.Oca. Assallammualikum.

    ReplyDelete
  2. Walaikum Salam saudara/saudari Ampah,

    Maaf kerana lambat membalas komen anda. Saya juga sedang berusaha untuk mendapatkan alamat atau no telefon keluarga Mohd Oca. In Sha Allah, jika saya berjaya mendapatkannya akan dikongsikan bersama anda dan para pembaca. Dan jika anda berjaya mendapatkannya, silalah kongsi bersama. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Kuasa Tuhan,saya berjaya menemui keluarga Orca,dengan bantuan rakan rakannya yang saya temui di kawasan kediamannya. Hanya Tuhan saja yang mengetahui kesengsaraan Mohd Orca. Di sebabkan keluarga ini penduduk tetap dari seberang,maka kurang bantuan dari kerajaan. Mereka perlu dibantu,terutama Mohd Orca yang memerlukan bekalan lampin dan makanan yang khas untuknya sepanjang masa. Tapi saya terlupa mencatatkan alamat penuh dan number talipon. Cuma saya dapat ingati nama jalan (Jalan Saujana 2/2, Taman Saujana, 81750 Masai, Johor, Malaysia) melalui google maps. Ada sebuah surau sebelum masuk ka jalan ini. Insaallah akan dicatatkan bila kesini lagi. terimakasih kerana membalas.

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah. Sebak sungguh rasanya bila dapat tahu yang saudara telah berjaya menemui Mohd Oca. Terima kasih di atas maklumat yang dikongsikan walaupun ia lengkap tetapi syukur kerana memberikan sedikit petunjuk kepada mereka yang ingin membantu. Dan terima kasih juga kerana melawat blog ini.

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah..akhirnya dpt juga saya mengetahui alamat Mohd Oca melalui laman ini. Saya ingin menghulurkan bantuan seadanya utk Mohd Oca sejak kali pertama membaca berita mengenainya. Dan saya berharap alamat ini dapat digunakan utk menghubungi keluarganya.Terima kasih kpd sdra Ampah dan Admin yang budiman.

    ReplyDelete
  6. Salam saudari Lidalsma. Terima kasih kerana melawat blog ini. Jika saudari dapat alamat yang lengkap serta nombor telefonnya nanti, silalah berkongsi di sini. Bersama-sama di harap kita semua dapat membantu Mohd Oca seadanya.

    ReplyDelete
  7. jazakAllah / jazakillah kepada Admin yg terus mengupdate this BlogSpot utk penetahuan semua

    ReplyDelete
  8. Dukacita di maklumkan Md Orca telah meninggal dunia tahun lepas selepas menyambut hari lahir yg terakhir. Innahi.....rajiun. Alfatiha.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Al Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Terima kasih sdr Chevy Cruze di atas perkongsiannya.

      Delete
  9. Innalillahi wa inna ilaihi raajiun

    ReplyDelete