November 6, 2012

Cuba terjun bangunan akibat putus cinta


BATU GAJAH - Akibat putus cinta, seorang remaja perempuan yang baru berusia 15 tahun bertindak agresif memanjat sebuah bangunan dan mengugut terjun dari bangunan tersebut dalam satu kejadian di sini, semalam.

Remaja terbabit yang juga penghuni sebuah pusat pemulihan akhlak di sini menaiki tingkat dua bangunan asrama pusat itu sebelum mengugut membunuh diri.

Bagaimanapun, hasratnya terbantut apabila anggota polis dan pasukan perubatan dari Hospital Batu Gajah (HBG) berjaya mengawalnya dengan memberi suntikan ubat penenang.

Penolong Penguasa Bomba, Halid Md Zin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.22 tengah hari sebelum tiba di pusat pemulihan berkenaan lima minit kemudian.

“Ketika tiba di tempat kejadian pihak pengurusan pusat pemulihan berkenaan sedang bertungkus lumus memujuk mangsa.

“Bagaimanapun, cubaan mereka gagal. Berikutan itu, kami dengan bantuan anggota polis dan pasukan perubatan dari HBG berjaya mengawal mangsa,” katanya.

Halid berkata, pihaknya terpaksa menggunakan pengusung untuk menurunkan mangsa dari bangunan dua tingkat berkenaan.

“Namun, mangsa secara tiba-tiba bertindak agresif tidak mahu memberi kerjasama walaupun dipujuk pihak pusat pemulihan, anggota dan keluarga.

“Tetapi, keadaan terkawal selepas mangsa disuntik ubat penenang dan berjaya diselamatkan,” katanya. - Sinar Harian 6 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment