November 6, 2012

Lemas dalam sawah


ALOR SETAR: “Arwah sudah tidak bernyawa selepas kepala terbenam dalam air menyebabkan kami sedih ketika mengangkatnya keluar dari kawasan sawah,” kata Mohd Naim Kassim, 34, juga sepupu Mohd Faizal Md Noor, 29, yang ditemui tertiarap dalam sawah mengandungi air selepas motosikal dinaikinya terbabas dipercayai ketika cuba mengelak lembu di Kampung Kuar, Tajar, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku pada jam 7.30 malam ketika hujan lebat apabila mangsa yang juga pesawah menunggang motosikal Honda EX5 bersendirian untuk bertemu rakannya.

Mohd Naim berkata, arwah ditemui tertiarap dengan kepala terbenam dalam petak sawah dengan memakai seluar denim biru serta baju-T putih manakala motosikalnya di atas batas.

Katanya, dia tiba di tempat kejadian pada jam 8 malam selepas menerima panggilan daripada anak saudara yang menemui arwah.

“Dengan bantuan enam penduduk kampung, kami mengangkat arwah ke batas sebelum menghubungi polis.

“Saya percaya dia terjatuh ke dalam sawah ketika mengelak sekawan lembu, tambahan pula keadaan hujan dan tiada lampu jalan,” katanya.

Katanya, kali terakhir menemui arwah ketika melihat mesin di sawah tengah hari kelmarin dan arwah ketika itu tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik.

Kakak arwah, Norain Md Noor, 43, berkata, dia tidak menyangka beberapa perubahan pada adik lelaki bongsunya ketika Aidiladha lalu bagai memberi petunjuk dia akan meninggalkan mereka sekeluarga selama-lamanya.

Menurutnya, dia pelik melihat arwah membersihkan kawasan rumah dan menghiasi rumah bersama ibu ketika mahu menyambut Aidiladha, baru-baru ini.

“Arwah tidak pernah berbuat demikian, malah lebih ramah melayan kerenah anak saudara ketika kami bertemu,” katanya.

“Apabila dikejutkan dengan berita ini, memang sedih kerana dia adik yang baik, malah saya mendapat tahu sebelum kejadian arwah dalam perjalanan ke rumah rakannya selepas Maghrib,” katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuar, Tajar, di sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas. - myMetro 6 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment