October 14, 2012

Ditemui maut atas sofa

Norihan Yaakob menunjukkan sofa tempat mayat Che Yam ditemui oleh anak mangsa dan jirannya, semalam.

TUMPAT – Misteri bau busuk  dihidu seorang jiran membawa kepada penemuan mayat wanita warga emas  yang  mati dalam keadaan menyandar di atas sofa di Kampung Belukar Berangan, dekat sini, semalam.

Mayat Che Yam Othman, 88, yang tinggal bersendirian di rumah tersebut  ditemui kira–kira jam 1.30 tengah hari  oleh anaknya, Mat Zin Daud, 59,  selepas memecah masuk rumah itu.

Jiran mangsa, Zaharah Awang, 64, berkata dia terhidu bau busuk dari rumah arwah Che Yam ketika keluar menjemur pakaian di halaman rumahnya pada jam 12 tengah hari.

“Tiba-tiba saya terhidu bau yang tidak menyenangkan dari rumah itu, bimbang sesuatu yang buruk berlaku saya terus menghubungi Mat Zin anak arwah Che Yam.

“Selepas  saya masuk bersama Mat Zink ke dalam rumah tersebut,  menemui  mayat  Che Yam dalam keadaan menyandar di atas sofa di ruang dapur,” katanya.

Zaharah berkata, pada pagi Selasa lalu dia ada ke rumah arwah Che Yam yang jaraknya hanya beberapa meter dari rumahnya untuk menghantar pulut ikan kering tetapi semua pintu rumahnya tertutup rapat.

“Saya ketuk bekali–kali pintu rumahnya tetapi tidak berjawab.

“Saya ingatkan Che Yam tiada di rumah kerana sejak beberapa hari lalu dia sering berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian menunggu cucunya berada di dalam wad kerana kemalangan,” katanya.

Mat Zain berkata, kali terakhir dia bertemu dengan ibunya pada Isnin lalu di HUSM ketika menziarahi anak saudaranya itu kemalangan.

“Sejak akhir-akhir ini arwah ibu sering berulang-alik ke hospital, sebab itu tiada siapa menyedari kematiannya itu kerana menyangka arwah ibu saya tiada di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati selepas 24 jam sebelum mayatnya dijumpai.

“Buat masa ini kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihak polis menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada kematian mangsa mempunyai unsur jenayah atau tidak,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati tiada kesan umpil pada pintu dan keadaan rumah mangsa tidak berselerak.

Sinar Harian 14 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment