October 14, 2012

2 keluarga kongsi rumah

Keadaan bumbung bahagian depan rumah sewa yang didiami dua keluarga. Gambar kecil Vadivelu


Kesusahan memaksa dua keluarga berlainan bangsa berkongsi rumah sewa di Kampung Simpul Berlubang di sini.

MACHANG - Kesusahan hidup mendorong dua sahabat berlainan bangsa di Kampung Simpul Berlubang dekat sini, saling tolong-menolong dalam mendapatkan kehidupan yang terbaik bagi keluarga mereka.

Biarpun agak memeritkan, namun 11 orang dari dua keluarga berbeza bangsa terpaksa berkongsi rumah sewa di Kampung Simpul Berlubang dekat sini apabila tidak mempunyai tempat tinggal.

Perkenalan lebih setahun lalu ketika sama-sama bekerja di Gelung Gajah dekat sini, menjadi titik mula keluarga Sofiah Hussin dan Vadivelu Sinnasamy tinggal sebumbung.

Sofiah berkata, rumah yang disewa dengan harga RM100 sebulan, dikongsi bersama keluarga Vadivelu bagi membantu keluarga itu yang tiada tempat tinggal.

Katanya, biarpun rumah sewa tersebut uzur dan rosak namun mereka terpaksa bertahan memandangkan tidak mampu menyewa rumah lain.

“Rumah ini agak besar dan kami bahagikan dua bahagian, untuk sama-sama berteduh biarpun kebanyakan bahagian rumah sudah rosak.

“Dengan pendapatan suami sebagai tukang rumah yang tidak menentu, kami tidak mampu menyewa rumah yang lebih baik lagipun lima anak saya sudah bersekolah,” katanya yang berasal dari Pasir Mas dan mempunyai tujuh anak.

Sofiah berkata, mereka juga terpaksa bergelap apabila bekalan elektrik dipotong akibat tidak mampu membayar bil sejak sebulan lalu.

Sementara itu, Vadivelu berkata, dia bersama empat ahli keluarganya terpaksa tinggal di rumah tersebut apabila tidak mempunyai tempat berteduh.

Katanya, setiap hari dia berulang alik ke tempat kerjanya di Temangan dengan menaiki motosikal.

“Saya orang susah, tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh diduduki. Dulu semasa bekerja di sini, kawan saya ajak kongsi rumah dengannya memandangkan saya tiada tempat tinggal.

“Isteri saya mempunyai masalah kesihatan dan tidak mampu berdikari, jadi jiran kami banyak membantu termasuk tolong masakkan makanan tengah hari kepada keluarga saya ketika saya keluar bekerja,” katanya.

Vadivelu berkata, lebih membimbangkan apabila dua anaknya tidak bersekolah, memandangkan tiada  orang yang boleh mengambil mereka ketika pulang daripada sekolah ketika dia keluar bekerja.

Katanya, dia bukan tidak mahu menghantar anak-anaknya namun dia tidak berdaya apabila semua urusan rumah tangga dan mencari rezeki terpikul di bahunya sejak isterinya sakit lapan tahun lalu.

“Dengan pendapatan yang tidak menentu sebagai buruh, tidak banyak yang mampu diusahakan untuk keluarganya.

“Kadang-kadang sakit isteri saya di luar kawalan, dan saya tidak boleh keluar bekerja bagi memastikan keselamatannya serta anak-anak,” katanya ketika menerima kunjungan MCA Machang diketuai Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Negeri, Yeo Soo Peng , di sini, kelmarin.

Soo Peng berkata, dia berharap kedua-dua keluarga tersebut dibantu bagi memastikan anak-anak mereka dapat belajar dengan baik.

Katanya, anak-anak kedua keluarga masih kecil dan memerlukan pembelaan yang sewajarnya seterusnya mengubah nasib keluarga mereka pada masa akan datang.

“Sikap saling tolong menolong antara dua keluarga berlainan bangsa itu sewajarnya dipuji, biarpun hidup susah namun mereka saling bekerjasama dalam meneruskan kehidupan.

“Rumah yang mereka duduki terlalu uzur dan tidak selamat terutamanya anak yang masih kecil,” katanya.

Sinar Harian 14 Okt 2012

0 comments:

Post a Comment