September 18, 2012

Pengawal keselamatan mati ditembak, rakan hilangkan diri


Bunuh rakan untuk larikan wang

ANGGOTA polis memeriksa sebuah van keselamatan yang terlibat dalam kejadian samun dan bunuh di Taiping semalam. Gambar - Kosmo

TAIPING – Seorang pengawal keselamatan yang memaksa rakan setugasnya menggunakan laluan lain ketika hendak pulang ke pejabat rupa-rupanya berniat jahat apabila dia disyaki menembak mati mangsa sebelum lesap bersama wang lebih RM1.2 juta semalam.

Kejadian pukul 3 petang di Jalan Tekah-Aulong berdekatan sebuah pasar raya Giant itu mengakibatkan Hasnol Hafiz Saad, 28, dari Kampung Pinang dan bapa kepada dua orang anak, mati akibat terkena empat das tembakan dari jarak dekat di dada. Mangsa ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan kecederaan parah di perut, dada, bahu kanan dan betis kiri.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek dalam perjalanan pulang selepas memungut wang daripada mesin deposit tunai beberapa buah bank di bandar ini.

Suspek yang dikenali sebagai Mohamad Hafizuddin Zainal Abidin, 25, yang menghilangkan diri bersama wang dan selaras senapang kini menjadi buruan polis.

Seorang saksi mendakwa, dia melihat suspek melarikan diri bersama beberapa beg mengandungi wang dengan menaiki sebuah kereta Honda Civic hitam yang berada beberapa meter di belakang van keselamatan tersebut.

Kebiasaannya, mereka akan menggunakan Jalan Taman Long Jaafar di Kampung Boyan di sini iaitu hanya sejauh lima kilometer untuk pulang ke pejabat tetapi semalam Hasnol telah dipaksa menggunakan Jalan Tekah-Aulong selepas mengutip wang. Jarak jalan itu kira-kira 10 kilometer dari pejabat mereka.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd. Diah berkata, pemeriksaan mendapati enam daripada 13 karung berisi wang lesap.

“Enam karung itu dipercayai mengandungi wang lebih RM1.2 juta dan siasatan awal mendapati bahagian luar van itu tidak mempunyai kesan dilanggar.

“Tempat kejadian bukan laluan yang biasa digunakan untuk pulang ke pejabat selepas mengutip wang. Van itu didapati terbabas di kiri jalan dipercayai akibat tindakan agresif suspek,” kata Yusof yang masih menyiasat jumlah sebenar wang yang dilarikan serta penglibatan individu lain.

Tambahnya, polis kini giat memburu Mohamad Hafizuddin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping di sini untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di talian 05-829 1222.

Sumber Kosmo dan The Star 19 Sep 2012


'Suami mahu tukar jawatan'

Taiping: Pemandu van syarikat keselamatan yang ditemui mati ditembak dalam kejadian rompakan RM1.2 juta di Jalan Tekah-Assam Kumbang, dekat sini, kelmarin menyatakan hasratnya tidak mahu lagi melakukan tugas itu kerana berbahaya.

Allahyarham Hasnol Hafez Saad, 28, memaklumkan perkara itu kepada isterinya, Zanariah Mat Ramli, 27, sehari sebelum kejadian berlaku.

Tugas berisiko

Zanariah berkata, suaminya memaklumkan tugas sebagai pemandu van syarikat keselamatan membawa wang amat berisiko kerana terdedah kepada kemungkinan dirompak penjenayah hingga mungkin menyebabkan kematian.

Justeru, katanya, suaminya yang mula bekerja sebagai pemandu di syarikat keselamatan itu hujung tahun lalu dan mempunyai pengetahuan dalam bidang komputer mahu menukar bidang tugas sebagai juru teknik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dengan syarikat sama bermula tahun depan.

Arwah beritahu dengan bertukar jawatan itu dia tidak lagi perlu memandu van yang membawa wang sebaliknya menggunakan kenderaan sendiri ke lokasi untuk tugas memasukkan wang ke dalam ATM.

Namun, saya tidak menduga percakapan itu (keselamatan Hasnol Hafez) rupa-rupanya menjadi kenyataan, katanya ketika ditemui di rumah keluarga Allahyarham di Kampung Pinang, dekat sini, semalam.

Zanariah berkata, suaminya ada mengirim SMS kepadanya ketika dalam perjalanan untuk mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan sebagai Pembantu Pertanian di Serdang, Selangor pada jam 2.30 petang pada hari kejadian.

Arwah bertanyakan khabar dan saya membalas SMS itu dengan memberitahu saya masih dalam perjalanan.

Arwah kemudian menghantar SMS mengatakan dia sedang melakukan tugasan di Taiping.

Setengah jam kemudian saya menelefon arwah tetapi tidak berjawab. Pada jam 6 petang, saya terkejut menerima berita buruk itu dan berasa begitu sedih, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, polis masih mengesan dan memburu suspek yang disyaki terbabit dengan kes itu.

Katanya, hingga kini wang dilarikan juga belum ditemui.

Berita Harian 20 Sep 2012


Kes Samun Mesin ATM Dan Bunuh Pengawal Keselamatan: Polis Tahan Enam Suspek

Pasukan polis berjaya menemui semula wang tunai berjumlah RM571,100 setelah berjaya menangkap enam penjenayah kes samun wang tunai syarikat Safeguards. Dalam kejadian samun pada 18 September itu sejumlah RM1,235,715.00 dibawah kawalan syarikat Safeguards telah disamun di hadapan Pasaraya Giant, Aulong, Taiping. Pemandu kenderaan tesebut ditembak dan meninggal dunia. Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan (dua,kiri) menunjukkan sebahagian daripada wang tunai yang dirampas. Turut hadir Ketua Polis Daerah Taiping, Acp Yusof Mohd Diah (kiri). Foto BERNAMA

IPOH: Polis Perak menahan enam suspek di Pulau Pinang dan Kedah bagi membantu siasatan kes samun wang tunai berjumlah RM1,235,715 dan bunuh seorang pengawal keselamatan di dalam van di depan sebuah pasaraya di Taiping pada Selasa lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata mereka yang berumur antara 40-an hingga 20-an itu ditahan di tiga kawasan pada Jumaat dan Sabtu lepas hasil risikan polis.

Empat daripada suspek berkenaan terdiri dua lelaki dan dua wanita ditahan di luar premis Kentucky Fried Chicken (KFC) di Petronas Bandar Sunway Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 2.30 petang, Jumaat lepas, katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Isnin.

Beliau berkata susulan daripada tangkapan itu, awal pagi keesokannya polis menyerbu sebuah rumah di kawasan George Town dan menahan seorang lelaki berumur 47 tahun.

"Pada hari yang sama (Sabtu) polis juga menahan seorang wanita berumur 28 tahun di sebuah rumah di daerah Kulim, Kedah," katanya dan menurutnya kejayaan menahan enam suspek itu merupakan kejayaan besar bagi polis Perak.

Ekoran penahanan keenam-enam suspek itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda City dan sebuah Proton Waja yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu selain wang tunai berjumlah RM571,100, katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mereka ditahan reman sehingga 28 September ini.

Dalam kejadian di hadapan sebuah pasaraya di Aulong, Taiping, pengawal keselamatan Hasnol Hafiz Saad, 28, ditemui mati dalam sebuah van yang dalam perjalanan membawa wang tunai di bawah kawalan Syarikat Safeguards Malaysia Sdn Bhd ke bandar Taiping, manakala rakan setugasnya Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 25, menghilangkan diri.

Hasnol ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan beberapa kesan tembakan di badan.

Mohd Shukri berkata polis sedang mengesan Mohd Hafizuddin, nombor kad pengenalan 870216-08-5015 untuk membantu siasatan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohd Hafizuddin atau kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis untuk membantu siasatan.- BERNAMA

24 Sep 2012


'Saya tidak dapat memaafkan pembunuh suami saya'

KAMUNTING – "Saya tidak dapat memaafkan pembunuh yang telah menembak suami saya. Saya mahu pihak berkuasa mengenakan hukuman yang sewajarnya ke atas suspek yang telah menembak suami saya," luahan isteri mangsa tembak pegawai keselamatan, Hasnol Hafiz Saad, 28.

Zanariah Mat Ramli, 27, berkata, beliau tidak menyangka kejadian seumpama itu boleh menimpa arwah suaminya.

“Kini saya perlu terima ketentuanNya dengan tabah dan meneruskan hidup seperti biasa walaupun arwah telah tiada,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Kampung Sungai Relong, di sini semalam.

Beliau berkata, walaupun kini telah mengetahui enam suspek yang terlibat dalam kejadian itu berjaya ditahan pihak polis, namun hatinya masih tidak tenang kerana suspek utama masih belum dikesan.

“Saya memang harap sangat individu yang terlibat dan bertanggungjawab di atas kematian arwah segera diberkas supaya hukuman yang sepatutnya dijatuhkan kepadanya,” katanya.

Tambah beliau lagi, sejak kejadian itu berlaku, beliau banyak mendapat sokongan dan nasihat daripada ahli keluarga, kawan-kawan termasuk ibu mertua.

“Saya juga bersyukur kerana walaupun setelah ketiadaan arwah, ahli keluarga dan orang sekeliling sentiasa ada memberikan dorongan dan semangat supaya saya dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Malah ibu mertua juga sentiasa memberikan nasihat supaya selepas ini dapat menjaga diri dengan baik,” katanya.

Sementara itu, bapa beliau, Mat Ramli Abd Hamid, 60, berkata, beliau bersyukur kerana telah ada suspek yang berjaya ditahan.

“Terima kasih kepada pihak polis kerana cepat menjalankan siasatan sehingga berjaya menahan enam suspek yang terlibat dalam kes tembakan Hasnol,” katanya.

Walaupun enam suspek yang terlibat telah ditahan, namun beliau tetap mahu suspek utama yang terlibat dalam kes tembakan menantunya 18 September lalu dihadapkan kemuka pengadilan.

“Saya rasa sangat tidak berpuas hati disebabkan kejadian itu kami sekeluarga telah kehilangan arwah buat selama-lamanya.

“Arwah juga adalah menantu lelaki pertama dalam keluarga dan kehilangannya memang begitu terasa,” katanya.

Mat Ramli berkata, beliau sekeluarga amat berharap agar pihak polis dapat meneruskan usaha mengesan suspek.

Sinar Harian 26 Sep 2012


Suspek Utama Kes Bunuh Pemandu Van Keselamatan Di Perak Ditangkap

IPOH: Polis telah menahan suspek utama dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rompak dan bunuh yang melibatkan sebuah van keselamatan di Taiping.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek berusia 25 tahun telah ditangkap pada Selasa kira-kira pukul 11 ​​pagi di kawasan berbukit di Kampung Syed Omar di Kangar, Perlis.

Beliau berkata polis juga merampas wang tunai RM7,250, mata wang Thailand bernilai 550 baht, seutas jam tangan jenama Casio, kunci motosikal dan empat kad sim daripada suspek.

Dzuraidi berkata tangkapan itu dibuat dengan bantuan dan kerjasama dengan pihak polis di Perlis.

Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Majistret Taiping, hari ini.

Menurut laporkan, pada 25 September polis telah menahan enam individu berkaitan kes itu, dan menemui wang sejumlah RM571,100 daripada RM1.2 juta yang telah hilang selepas kejadian.

Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata polis menemui wang ketika membuat serbuan di beberapa buah rumah di Kulim, Kedah, dan George Town, Pulau Pinang pada hari Jumaat.

Kira-kira RM1.2 juta telah dilaporkan hilang apabila pemandu van keselamatan Safeguards Malaysia Sdn Bhd Hasnul Hafis Saad, 28, ditemui mati ditembak di dalam kenderaan di Aulong, Taiping, Selasa lepas.

Ketika itu polis masa itu masih mencari Mohd Hafizuddin Zainal Abdin, 23, untuk membantu dalam siasatan.

mStar 26 Sep 2012


Tunggu ‘ejen’ ke Thailand


DI SINI...keadaan dalam pondok didiami suspek. 

KANGAR: Suspek utama kes bunuh dan rompakan van pengawal keselamatan membabitkan wang RM1.2 juta di Taiping yang ditahan polis di negeri ini kelmarin dicekup ketika dia menunggu kedatangan ‘ejen’ untuk membawanya ke Thailand.

Seorang penduduk kampung mahu dikenali sebagai Pak Ya, 53, yang membantu polis ketika operasi menahan lelaki berusia 25 tahun itu, berkata ketika diberkas suspek tidur dalam sebuah pondok di atas bukit di Bukit Wang Angin, Banjaran Nakawan, dekat Batu Pahat, di sini, kira-kira jam 11 pagi.

Menurutnya, pondok usang itu milik warga negara jiran dan lokasi suspek ditahan adalah kawasan sempadan Malaysia-Thailand terletak kira-kira 10 kilometer dari Kampung Syed Omar, di sini.

“Saya dan beberapa rakannya bersama anggota polis mula mendaki bukit itu kira-kira jam 9 pagi sebelum tiba di kawasan pondok itu kira-kira dua jam kemudian.

“Ada dua pondok di situ terletak 100 meter di antara satu sama lain dan selepas pemeriksaan kami mendapati suspek tidur dalam satu daripadanya,” katanya.

myMetro 27 Sep 2012



Penyelia, Pengawal Keselamatan Dituduh Rompak RM1.23 Juta, Lepaskan Tembakan

TAIPING: Seorang penyelia syarikat swasta dan seorang pekerja syarikat keselamatan pada Jumaat dihadapkan ke Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan merompak RM1.23 juta dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu van pada 18 Sept lepas.

Cheah Cheong Tatt, 23, dan Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 25, didakwa dengan niat bersama merompak RM1,235,715 milik Safeguards G4S Sdn Bhd dan melepaskan tembakan dari senjata api dalam kejadian rompakan itu di hadapan pasaraya Giant,Jalan Tekah, Aulong di sini antara 2.20 petang dan 3.25 petang, 18 Sept lepas.

Mereka dituduh melepaskan tembakan itu dengan niat hendak menyebabkan kematian kepada Hasnul Hafis Saad, 28, yang merupakan pemandu van syarikat keselamatan itu yang membawa wang tunai berkenaan.

Cheah dan Mohd Hafizuddin didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes itu bagi pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat dan dokumen berkaitan.

Cheah dari Kulim, Kedah diwakili peguam C.P. Ang manakala Mohd Hafizuddin dari Sungai Siput, Perak tidak diwakili peguam bela. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim. BERNAMA

5 Okt 2012


1 comment:

  1. bagus owner blog nii..sgt2 membantu aku utk siapkan projek tahun akhir aku..terima kasih

    ReplyDelete