September 13, 2012

Kenangan hilang empat anak


MUADZAM SHAH: “Jauh di sudut hati memang sukar untuk saya melupakan mereka namun apakan daya ia sudah tertulis menjadi sejarah hitam buat kami sekeluarga.

“Namun, saya bersyukur kerana apa yang ada pada mereka, turut ada dalam diri kedua anak kembar kami yang sedikit sebanyak menjadi pengubat rindu,” kata Saeyah Mohd Nor, 41, ibu yang kehilangan empat anak serentak selepas lemas dalam tali air di ladang kelapa sawit persendirian berhampiran Kota Bahagia, dekat sini, tiga tahun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari 7 Disember 2009, empat beradik terbabit, Mohd Syukri Md Shamsuri, 15, Syafiqah, 15, (kedua-duanya dilahirkan pada tahun sama) Mohd Syafiq, 12, dan Nursyakira, 8, lemas di tali air berkenaan kerana semua mereka dikatakan tidak pandai berenang.

Ketika kejadian, keempat-empat mangsa bersama Saeyah, bapa mereka, Md Shamsuri Maulana, 49, dan dua lagi saudara kembar yang kini berusia sembilan tahun, Nurainun Syahirah serta Nurainun Syahriah pergi ke kawasan itu untuk memancing.

Saeyah berkata, hatinya sayu dan sunyi setiap kali mengenangkan arwah empat beradik terbabit namun apakan daya takdir Tuhan mengatasi segala-galanya.

Katanya, gelak tawa empat beradik terbabit masih terbayang di ingatan setiap kali teringatkan mereka namun dia cuba melontarkan perasaan itu jauh dari fikirannya.

“Saya percaya kepada takdir Allah dan kejadian itu ada hikmah tersembunyi. Walaupun hilang empat anak serentak namun saya dan suami bersyukur kerana masih ada dua anak kembar.

“Selepas kejadian itu, saya menyedari ciri yang ada pada empat beradik terbabit semuanya ada dalam diri anak kembar ini. Memang ia adalah anugerah Allah yang tidak ternilai,” katanya.

Saeyah berkata, pasangan kembar berkenaan yang kini belajar di tahun tiga Sekolah Kebangsaan Melati, di sini, adalah pengubat rindu kepada arwah empat beradik terbabit.

“Saya boleh katakan kembar ini adalah empat dalam dua, semua ciri yang ada pada arwah abang dan kakak mereka ada dalam diri mereka. Kembar ini sangat istimewa kerana bila bermesra atau berbual dengan mereka, saya dapat rasakan empat arwah anak saya ada bersama,” katanya yang menetap di Kota Syahbandar, di sini.

Saeyah berkata, selepas kejadian itu dia cuba sedaya-upaya untuk melupakan apa yang berlaku namun adakalanya perasaan itu tetap muncul di fikiran.

“Untuk melupakan apa yang berlaku, saya banyak terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan seperti membaca Yassin dari rumah ke rumah bersama penduduk di sini,” katanya.

Sementara itu, Md Shamsuri berkata, kehidupan mereka sekeluarga sememangnya berubah selepas tragedi yang meragut nyawa empat anaknya itu.

“Sedangkan hilang barang pun kita susah hati apatah lagi hilang empat anak serentak, ia sungguh memilukan dan akan terus terbuku dalam ingatan kami.

“Bagaimanapun, sebagai umat Islam kita perlu reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Pengawal keselamatan itu berkata, selepas tragedi berkenaan, dia dan isterinya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke tempat kejadian itu.

Katanya, dia dan isteri berterima kasih kepada orang ramai yang banyak menghulurkan pelbagai bantuan dan mengembalikan semangat untuk menempuh hari mendatang selepas kejadian.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang membantu terutama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana berkat bantuan diberikan saya dan isteri dapat menunaikan haji di Makkah pada 2010.

“Jika berkesempatan saya ingin bertemu dengan baginda (Tengku Abdullah),” katanya.

myMetro 13 Sep 2012


Bapa nampak 4 anak tenggelam - Empat beradik mati lemas dalam tali air


Jenazah empat adik-beradik yang mati lemas dalam tali air ladang kelapa sawit Kota Shahbandar, Rompin semalam.


ROMPIN - "Saya lihat keempat-empat anak saya tenggelam timbul dalam air sebelum kesemua mereka hilang daripada pandangan."

Demikian luahan sedih seorang bapa, Samsuri Maulana, 46, yang kehilangan empat orang anak sekali gus termasuk sepasang kembar di tali air di ladang kelapa sawit di Kota Shahbandar di sini pada pukul 1.30 petang semalam.

Empat anak Samsuri yang mati lemas ialah anak kembarnya yang berusia 15 tahun, Mohd. Shukri dan Syafiqah, Mohd. Syafik, 12, serta Nursyakirah, 7.

Sebelum kejadian, Samsuri bersama empat orang anaknya yang maut, isterinya, Saeyah Mohd. Noor, 38, serta sepasang lagi anak kembar mereka berusia enam tahun, Nur Ainon Syahirah dan Nur Ainon Syariah pergi ke ladang itu untuk memancing ikan.

"Sampai di tali air di ladang itu, keempat-empat anak saya (mereka yang mati) meminta kebenaran untuk mandi.

"Ketika mereka berjalan untuk mencari tempat cetek, Nursyakirah tergelincir ke dalam tali air menyebabkan tiga lagi anak saya cuba menyambar tangan Nursyakirah tetapi mereka juga terjatuh," katanya ketika ditemui di Felda Keratong 3 di sini semalam.

Kosmo 7 Dis 2009

3 comments:

  1. saya sepupu arwah pon terasa sgt kehilagn arwah.. kitorg selalu mkn sama2 lepas sekolah, tersa rindu pulak kat arwah2 nie.. Al-fatihah..

    ReplyDelete
  2. Arwah shukri yang sama2 saya pd zaman skolh, dengn seorang lagi sahabat saya fikri, mereka tempat saya brkongsi masalah. Sy rasa sy kehilngn seorang sahabt pada masa itu kerana sebb tiba2 sy rasa sy sesuatu yang pelik, tup2 pada bulan disember 2009,ketika sy di johor sy mndengar berita yg dia meninggal dunia. Sebak rasa pd masa tu kehilangan sahabat yang selalu sedia mmberi nasiht dan pendapat saat sy kongsikan masalah saya.

    ReplyDelete
  3. Al Fatihah buat mereka .....

    ReplyDelete