September 28, 2012

Bulatan terlalu sempit, pengguna keliru

Bulatan yang sempit mengundang kekeliruan pengguna di Parit Air.

RANTAU PANJANG – Kemalangan yang kerap berlaku di bulatan berhampiran Kampung Parit Air, Pintu Dua Kastam di sini, mengundang kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Mereka mendakwa, dalam seminggu, dua hingga tiga kemalangan berlaku di bulatan ini berikutan kekeliruan di laluan berkenaan.

Perkara ini bukan masalah baru, tetapi berlarutan sejak jalan berkenaan siap dibina.

Wartawan difahamkan penduduk, banyak kenderaan menggunakan laluan ini termasuk pengunjung luar yang ke pekan ini untuk membeli-belah.

Kebanyakan pengguna yang menggunakan jalan ini adalah orang ramai yang menggunakan jalan dari Lubok Setol ke Rantau Panjang dan kawasan berdekatan.

Penduduk, Abdullah Musa, 52, mendakwa, laluan ini mempunyai bulatan tetapi tidak sesuai dipanggil bulatan,  kerana saiznya yang sempit dan mengelirukan pengguna.

Menurutnya, setibanya di bulatan ini, pengguna keliru kenderaan dari arah mana patut bergerak dahulu.

“Bagi penduduk setempat yang sudah biasa dengan jalan ini, ramai yang memandu laju.

“Inilah antara faktor yang mengundang kemalangan di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdullah berkata, keadaan gelap di kawasan ini juga turut mengundang bahaya kepada pengguna.

Abdullah berkata, bagi mengelak masalah berlarutan, dia berharap pihak berkenaan segera mengambil langkah tertentu untuk mengelak kemalangan lebih serius berlaku.

Menurutnya, kemalangan terbaru berlaku pada Ahad dan Isnin lalu melibatkan motosikal.

“Pada minggu ini dua kemalangan berlaku, dan mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius.

“Justeru bagi mengelak kejadian sama berulang, saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah segera,” katanya.

Sinar Harian 28 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment