September 28, 2012

Gusar fikir masa depan anak

Ismail bersama kakitangan Paid Maran dan pemimpin setempat menziarahi kanak-kanak malang itu.

MARAN - Seorang ibu kepada tiga anak gusar memikirkan masa depan anak sulungnya apabila kini hanya mampu terlantar akibat masalah tulang belakang yang dihidapi sejak empat tahun lalu.

Tan Mei Cheng, 28, berkata, zaman persekolahan anak sulungnya itu, Leong Jing Hai juga dilihat masih kabur walaupun sering meminta dihantar ke sekolah tabika setiap hari seperti rakan lain.

Menurutnya, masalah tulang belakang dihadapi anaknya itu disedari ketika berusia setahun apabila secara tiba-tiba terbaring lembik dan tidak lagi mampu bangun duduk sendiri.

“Pemeriksaan lanjut mendapati anak saya mempunyai masalah tulang belakang dan lebih memilukan, peluang untuk pulih amat tipis. Kemungkinan besar dia akan terus begini sampai bila-bila, hanya masa yang akan menentukannya.

“Setiap hari, Jing minta mahu ke sekolah namun saya tidak dapat berbuat apa-apa selain beritahu dia tidak boleh ke sekolah kerana masih sakit,” katanya ketika ditemui menerima kunjungan ziarah Nurkasih Pejabat Agama Islam Daerah Maran, di sini.

Turut serta, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Tan berkata, walaupun tidak sanggup melihat penderitaan ditanggung anaknya itu namun dia perlu tabahkan hati dan tidak boleh menangis di hadapan Jing.

Menurutnya, Jing mudah rasa penat dan memerlukan bantuan mesin pernafasan pada setiap hari.

“Jika dia menangis, dia lagi cepat sesak nafas dan begitu juga kalau penat bermain dengan adik atau kawan di rumah. Kita kena sokong sekiranya dia mahu duduk namun kebiasaan dia lebih selesa meniarap,” katanya.

Sinar Harian 28 Sep 2012

0 comments:

Post a Comment