August 22, 2012

Terbayang kematian, 6 anak


KUALA LUMPUR: “Ketika itu saya hanya terbayang kematian dan wajah enam orang anak selepas ‘diculik’ sebelum dibelasah sekumpulan 10 lelaki pekerja kelab malam gara-gara berlaku kemalangan jalan raya dengan salah seorang daripada mereka ketika saya ke tempat kerja pada 25 Mei lalu,” kata mangsa yang ingin dikenali sebagai Zam, 38, yang terpaksa menerima 25 jahitan di telinga akibat kejadian itu.

Dia yang bekerja sebagai pemandu teksi, sehingga kini masih trauma dengan kejadian itu, tambahan pula sebahagian mereka yang membelasahnya masih bebas.

Menceritakan semula kejadian itu, Zam berkata, pada hari kejadian, dia sedang memandu teksi untuk ke tempat kerja apabila terlanggar sebuah motosikal ditunggangi pekerja sebuah kelab malam di Jalan Ampang, kira-kira jam 9 malam.

Menurutnya, ketika itu, dia cuba membantu lelaki terbabit dan mahu menghantarnya ke hospital, namun ditolak, malah dia yang ketakutan selepas ramai rakan lelaki terbabit datang.

“Saya kemudian menghubungi rakan untuk meminta bantuan menyelesaikan masalah itu dan berjumpa dengannya di pusat snuker berdekatan.

“Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, saya terkejut apabila didatangi lebih 10 lelaki dipercayai rakan lelaki yang saya langgar itu yang kemudian memarahi dan memukul saya dengan kerusi dan kayu snuker,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan lemah selepas dibelasah, dia ditarik masuk ke dalam kereta sebelum dibawa ke hadapan sebuah kelab malam yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian sebelum sekali lagi dibelasah mereka.

“Dalam keadaan kesakitan dan berlumuran darah, saya merayu supaya dilepaskan, namun tidak diendahkan sebaliknya mereka terus memukul saya dengan kayu dan kerusi besi.

“Puas saya meminta mereka melepaskan saya, malah memberitahu saya mempunyai enam orang anak yang perlu ditanggung selepas saya mula terfikir akan mati, namun tidak dihiraukan mereka sebaliknya terus dibelasah hampir 10 minit,” katanya.

Menurutnya, sebaik selesai memukulnya, datang pekerja lain yang kemudian menghantarnya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan akibat kejadian itu dia cedera di kepala, badan serta menerima 25 jahitan di telinga.

“Bimbang kejadian sama berulang, saya membuat laporan di Balai Polis Jalan Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya malah dua orang yang memukul saya juga sudah ditahan sejak kejadian itu.

“Bagaimanapun, rakan mereka masih bebas menyebabkan saya kini trauma dan bimbang kejadian sama akan berulang,” katanya.

myMetro 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment