August 22, 2012

4 beradik tumpang kasih nenek

Berdiri kiri: Shazrul Izman, Suzie Shazwani, Shaliza Shazwani (duduk, kiri) dan Shasha Shazwani tinggal di PKAYIK setelah kematian ibu bapa sejak enam tahun lalu.

KLUANG - Empat beradik yang kini hidup yatim piatu terpaksa menumpang kasih nenek mereka setiap kali menjelang Aidilfitri selepas kehilangan ibu dan ayah sejak enam tahun lalu.

Walaupun mempunyai dua lagi abang yang kini sedang melanjutkan pelajaran di Negeri Sembilan namun, semua itu bagaikan tidak mampu menghilangkan rasa rindu mereka terhadap belaian kasih sayang kedua orang tua.

Ketika ditemui di Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Kluang (PKAYIK), Shasha Shazwani Norizan, 17, Shazrul Izman, 14, Suzie Shazwani, 12, dan Shaliza Shazwani, 8, kelihatan ceria dengan kedatangan rombongan dari Pejabat Belia dan Sukan, Kluang yang berkunjung ke asrama tersebut menghulurkan sumbangan raya.

Menurut Shasha yang juga anak ketiga daripada enam beradik itu, setiap kali lawatan dari luar datang untuk makan atau bertemu mereka di sini, pasti perasaan rindu kepada arwah ayah dan ibu sedikit terubat.

“Sebagai kakak, sayalah yang menjadi pengganti tanggungjawab seorang ibu kepada adik-adik saya yang tinggal di pusat PKAYIK ini dan sentiasa memastikan mereka sihat dan gembira walaupun semua itu tidak sama dengan kasih sayang yang diberikan oleh ibu kepada kami.

“Walau bagaimanapun, adik kami yang bongsu iaitu Shaliza yang paling rindukan belaian ibu kerana ketika kedua ibu bapa kami meninggal dunia, dia baru sahaja berusia dua tahun dan tidak tahu apa-apa,” katanya kepada Sinar Harian.

Shasha berkata, apabila menjelang Aidilfitri, mereka akan pulang bercuti ke rumah nenek di Kampung Bukit Batu, Machap sambil menziarahi pusara ibu dan ayah mereka di sana.

Katanya, hanya nenek sahaja menjadi tempat mengadu sejak ayah meninggal dunia pada tahun 2005 kemudian disusuli ibu pada 2006 kerana mengidap penyakit asma.

“Mujurlah masih ada nenek sebagai tempat menumpang kasih dan kami menyambut hari raya, walaupun tidak meriah seperti orang lain.

“Namun, semua ini kami hadapi dengan penuh tabah kerana kami tahu ada orang lain berhadapan dengan suasana yang lebih syahdu daripada kami enam beradik,” katanya yang kini masih belajar di tingkatan lima.

Tambahnya, sejak ketiadaan ibu dan ayah, setiap kali hari raya dia dan adik-beradik yang lain akan menyambutnya dalam keadaan yang sederhana.

Menurutnya, walaupun sudah tidak mempunyai ibu dan ayah namun, dia sentiasa menjaga adik-adiknya yang tinggal bersama di pusat PKAYIK malah, dia juga berjanji belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang pakar psikologi.

Sinar Harian 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment