August 23, 2012

Remaja diserang buaya ketika mandi di pantai


'Sangka rakan rupanya buaya'

Austin menunjukkan betisnya yang cedera digigit buaya ketika berkelah di Pasir Pandak, semalam.

Kuching: “Mulanya saya sangka rakan bergurau dengan menerkam paha saya dalam air, namun sebaik menoleh ke belakang, saya lihat lima rakan berada agak jauh.

“Saya terus meraba ke bawah sebelum terpegang benda keras dan menggerutu, sebelum menyedari ia seekor buaya besar,” kata Ashley Austin Chin, 14.

Dia yang ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini menceritakan detik cemas diserang buaya ketika berkelah di pantai Pasir Pandak, Santubong, pada jam 7.30 pagi semalam. Gigitan itu menyebabkan dia cedera di paha dan betis kanan.

Dalam kesakitan selepas kedua pahanya digigit buaya, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Maong itu terus melepaskan tumbukan ke arah mata dan mulut buaya berkenaan.

Tumbuk mata buaya

“Selepas tumbukan yang saya lepaskan mengena mata buaya berkenaan, barulah reptilia itu melepaskan gigitan dan saya terus menendangnya sebelum menyelamatkan diri dengan dibantu rakan,” katanya.

Austin berkata, dia bersama lima rakan lain pergi berkelah ke Pasir Pandak sempena cuti sekolah dan cuti Aidilfitri.

Katanya, dia tidak menyangka sama sekali ada buaya di situ berikutan pantai berkenaan sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Remaja itu juga kesal kerana tidak mengendahkan larangan ibunya supaya tidak pergi ke pantai lagi, selepas pulang daripada berkelah di Pantai Sematan, kelmarin.

“Mujur saya selamat dan serik untuk pergi ke pantai berkenaan lagi selepas ini,” katanya.

Berita Harian 23 Ogos 2012


Tumpas bila mata dicucuk

KUCHING – Tindakan berani seorang remaja menendang kepala dan mencucuk mata seekor buaya dengan jari tangannya berjaya menyelamatkan dirinya daripada menjadi korban reptilia ganas itu ketika dia mandi-manda bersama rakan di pantai Pasir Panjang dekat sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Ashley Austin Chin, 14, bersama lima rakan bermandi-manda selepas selesai memancing sebelum kaki kanannya tiba-tiba disambar buaya serta mengheretnya ke dalam air.

Panik diheret dan bergelut kira-kira tiga minit dengan reptilia sepanjang dua meter itu, Ashley terus menjerit dan meronta-ronta.

Dia akhirnya sempat menendang kepala Sang Bedal sebelum reptilia itu cuba pula menerkam kaki kirinya.

“Pada mulanya saya ingat kawan saya bermain dan menarik kaki saya, namun selepas saya berpusing ke belakang, saya ternampak seekor buaya.

“Saya sempat berpusing dua kali dalam air walaupun kaki masih dalam mulut buaya dan tendang kepala sambil mencucuk mata buaya itu dengan jari tangan hinggalah kaki saya dilepaskannya,” ceritanya kepada Kosmo! ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini semalam.

Kosmo 23 Ogos 2012


0 comments:

Post a Comment