August 22, 2012

Seorang remaja dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai


SIBU: Seorang remaja dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai ketika bekerja di sebuah kapal tunda di kawasan perairan Tanjong Ensurai, dekat sini kelmarin.

Menurut rakan-rakannya, mangsa yang berusia 19 tahun, berasal dari Jawa, Indonesia dan dikenali sebagai ‘Bekas Berat’ dikatakan sedang bekerja di atas kapal tersebut sebelum kejadian sekitar jam 4.30 petang itu.

Namun tidak dapat dipastikan punca dan bila mangsa terjatuh ke dalam sungai.

Sebaik menyedari mangsa tidak berada di atas kapal, rakan sekerjanya segera menghubungi dan memaklumkan kepada polis mengenai kejadian itu.

Polis kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengerahkan anggota-anggotanya memulakan operasi mencari dan menyelamat pada petang kejadian.

Bagaimanapun pasukan mencari dan menyelamat gagal menemui mangsa di lokasi kejadian dan terpaksa menyambung semula operasi pagi semalam.

Sehingga berita ini ditulis, belum ada perkembangan lanjut berhubung penemuan remaja tersebut.

Mangsa telah bekerja dengan majikan kapal tunda tersebut sejak sembilan bulan lalu.

Utusan Borneo 22 Ogos 2012


Mayat remaja jatuh sungai ditemui


DITEMUI: Mayat Bagas diangkat ke dalam kenderaan polis di jeti Tanjung Ensurai untuk dibawa ke Hospital Sibu pagi semalam.

SIBU: Mayat seorang remaja yang dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai di Tanjung Ensurai dekat sini telah ditemui orang awam jam 9 pagi semalam.

Mangsa, Bagas Prastyo, 17, dijumpai terapung oleh orang awam tidak jauh dari sebuah kilang papan di Tanjung Ensurai di sini.

Sumber polis berkata, Bagas dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika mandi di sebuah kapal tunda yang berlabuh di situ pada jam 4.30 petang kelmarin.

Polis Marin yang dimaklumkan tentang penemuan mayat kemudian bergegas ke lokasi penemuan menggunakan bot laju sebelum membawa mayat remaja itu ke Hospital Sibu pada jam 10.30 pagi.

Mangsa yang berasal dari Semarang, Indonesia telah bekerja di kilang papan di situ sejak sembilan bulan lalu.

Utusan Borneo 23 Ogos 2012



0 comments:

Post a Comment