August 22, 2012

Is sudah mampu tersenyum


Iskandar

JOHOR BAHRU - Kisah penderitaan bayi berusia setahun, Iskandar Syalizan, pesakit Interstitial Lung Disease (ILD) yang pernah dipaparkan Sinar Harian sebelum ini, mencuri perhatian ramai pembaca.

Kisah menyayat hati Iskandar atau lebih manja dipanggil Is bermula selepas terlantar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Mac lepas akibat sakit paru paru dan jangkitan virus.

Kemudian pada 3 Mei, hasil pelbagai ujian termasuk ECHO dan CTScan, Iskandar disahkan menghidap ILD.

Bagaimanapun, setelah dua bulan mendapat rawatan intensif di Hospital Kuala Lumpur, Iskandar kini semakin pulih dan pulang ke rumahnya di Larkin Perdana, di sini.

Ibunya, Siti Aminah Amir, 28, berkata, perkembangan paling menggembirakan apabila Iskandar semakin aktif dan mula belajar bertutur.

“Perkembangan positif ini berkat doa dan sokongan semua. Dengan izin ALLAH SWT, Is kini dibenarkan pulang. Namun dia perlu dijaga rapi kerana terdedah dan berisiko untuk terkena jangkitan kuman,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Menurut Siti Aminah, Syawal ini merupakan tahun kedua Iskandar beraya, namun hanya sambutan sederhana dilakukan.

“Is hanya dibenarkan pulang di akhir Ramadan, jadi kelengkapan untuk raya memang tidak dilakukan kerana fokus kami hanya untuk memastikan dia sihat.

“Kami telah berpindah ke rumah baru, dan tangki oksigen yang diperlukan Is telah dibeli. Kami juga sedang mengusahakan bilik khas buat Is kerana keadaannya yang mudah terdedah jangkitan kuman,” katanya.

Kata ibu muda ini lagi, fokus dia dan suami hanyalah untuk mencari penjaga yang boleh menjaga Iskandar.

“Kami berdoa Is akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya.

Sinar Harian 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment