August 22, 2012

Mangsa langgar lari derita

Raja Sulochana (kiri) di samping Kannan.

SEREMBAN – “Sebelum ini, dia seorang yang aktif dan ringan tulang bantu keluarga," kata V. Raja Sulochana, 53, ibu kepada mangsa kemalangan langgar lari, N.Kannan 18.

Raja Sulochana berkata, dia sedih melihat keadaan anaknya yang kini tidak mampu bergerak lagi selepas terbabit kemalangan.

Kannan yang membonceng motosikal ditunggang abangnya, N.Jagethis, 19, terbabit dalam kemalangan langgar lari dengan sebuah lori ketika mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai gunting rambut di Labu, Mac lalu.

Akibat daripada kemalangan itu, Kannan koma empat bulan di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini akibat kecederaan teruk di kepala, bagaimanapun abangnya hanya cedera ringan.

Kata Raja Sulochana, selama empat bulan anak keduanya itu koma, dua bulan lalu, dia sekeluarga dapat membawanya pulang ke rumah selepas doktor membenarkannya.

“Sudah sebulan saya menjaganya seperti bayi kecil, dari pakaian, makan, minum sehingga memandikannya. Kannan kini hanya terlantar di katil sahaja dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

“Bahkan, ingatan Kannan juga belum pulih sepenuhnya dan masih tidak mengenali kami kesan dari kecederaan itu" katanya di sini.

Raja Sulochana yang juga surirumah sepenuh masa berkata, anaknya itu ada memasang niat untuk menyambung pelajaran dalam bidang kejuteraan di sebuah kolej di Puchong selepas lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

“Bila terkenangkan hajat Kannan itu, memang saya sedih. Bayangkan, empat hari selepas kemalangan itu, keputusan SPM keluar dan Kannan telah berjaya memperoleh keputusan yang baik," katanya.

Sinar Harian 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment