July 30, 2012

Siak masjid selamatkan keluarga peniaga dari maut terbakar



Fauzi mencari barangan berharga di hadapan pintu kedainya yang musnah di Kampung Permatang Tok Brain, kelmarin.

SEBERANG PERAI - Tindakan pantas siak Masjid Jamek Permatang Tok Brain memaklumkan kejadian kebakaran melalui pembesar suara awal pagi kelmarin selepas melihat sebuah kedai runcit terbakar berjaya menyelamatkan nyawa pemilik kedai itu dan ahli keluarganya.

Mangsa, Fauzi Jamaluddin, 47,  isteri dan empat anak yang tinggal di belakang kedainya tidak menyedari kebakaran itu sehinggalah dimaklumkan oleh jiran terdekat yang mendengar pengumuman dibuat oleh siak berkenaan.

Fauzi yang lebih dikenali sebagai Halim oleh penduduk di sini berkata, dia hanya terjaga selepas beberapa jiran datang mengetuk rumahnya untuk memaklumkan kedai runcit miliknya yang terletak di simpang tiga kampung berkenaan terbakar.

“Kejadian itu disedari beberapa jiran yang mendengar pengumuman siak berkenaan yang ketika itu dalam perjalanan membuka pintu masjid bagi digunakan jemaah untuk solat Subuh.

“Sebaik terjaga, saya terkejut melihat api dan segera mengejutkan isteri dan empat anak berusia antara 14 hingga  satu tahun setengah segera lari keluar rumah menyelamatkan diri,” katanya.

Fauzi berkata, kedai runcit separuh kayu dan batu yang berusia lebih 14 tahun dan dibina di hadapan rumahnya itu gagal diselamatkan dan mengalami kerugian lebih RM100,000.  

Menurutnya, dia mengucapkan terima kasih kepada siak berkenaan, kerana tanpa bantuannya mungkin mereka sekeluarga akan menjadi mangsa dalam kebakaran itu.

Premis kedainya dengan masjid berkenaan hanya berjarak lebih kurang 200 meter sahaja.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda, Penolong Penguasa, Zainor Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jaml 5.21 pagi kelmarin.

Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba Kuala Muda, Kepala Batas dan satu jentera sukarela dari Sungai Puyu bersama 30 anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

“Pihak kita dapat mengawal api dari merebak dan memadamnya setengah jam kemudian, kerana api marak berikutan premis ini sebahagian besarnya terdiri dari kayu dan papan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk menemu bual siak berkenaan tidak kesampaian apabila dimaklumkan oleh keluarganya dia keluar daerah kerana mempunyai urusan.

Sinar Harian 30 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment