July 1, 2012

Pemuda hilang upaya selepas nahas


Wan Azlan (dua, kanan) melihat keadaan S Mathan pada majlis penyampaian kerusi roda di sini.

KUANTAN - Seorang pemuda hilang upaya selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya 17 tahun lalu menyebabkan dia kini hanya mampu berada di kerusi roda.

Kehidupan S Mathan, 32, anak keempat daripada lima adik-beradik, berubah seratus peratus kerana kecederaan yang dialami di bahagian kepala.

Ibunya, A Lecthumi, 60, berkata, selepas kejadian malang itu, anaknya menjalani pembedahan di kepala untuk membuang darah beku.

“Selepas itu, dia tidak mampu berjalan kerana terlalu lama terbaring selain mengalami kecederaan di bahagian pinggang.

“Saya terpaksa membelikan kerusi roda bagi membolehkan dia bergerak namun selepas empat tahun, kerusi roda berkenaan semakin rosak sehingga terpaksa diikat tali,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Kerusi Roda dan barang keperluan harian oleh Badan Kemanusiaan dan Kebajikan Beserah/Sungai Karang (Bakkiss), di rumahnya di Air Putih.

Hadir menyampaikan sumbangan, Yang Dipertuanya, Wan Azlan Wan Salleh dan Ketua MIC Kampung Padang, P Regunathan.

Lecthumi berkata, dia yang juga ibu tunggal sejak 16 tahun kini terpaksa menghabiskan masanya dengan menjaga anak lelaki itu selepas hilang upaya untuk menguruskan diri.

Katanya, dia bergantung sepenuhnya kepada pencen mendiang suaminya berjumlah RM400 selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200.

“Saya tidak dapat bekerja kerana perlu menjaganya sepenuh masa, kadang-kadang saya cuba melakukan fisioterapi sendiri kerana tangannya sudah kejang,” katanya.

Bagaikan malang bertimpa, Lecthumi berkata, pemilik rumah sewa sudah memberi notis untuk mengosongkan rumah terbabit.

Katanya, dia kini buntu untuk mendapatkan rumah sewa yang lain sedangkan tempoh diberikan sudah suntuk.

Sementara itu, Wan Azlan berkata, pihaknya menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa dan berharap dapat meringankan beban keluarga terbabit.

Sinar Harian 1 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment