July 1, 2012

Air mata bapa


Nordin bersama tiga orang anaknya yang dibawa pulang dari Lampung, Indonesia.

Sepang: Nordi Adi, 57, menangis teresak-esak sebaik tiba di tanah air bersama tiga daripada empat anaknya yang ‘disimpan’ ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia.

“Cukup senang hati dapat bawa balik mereka, saya akan jaga tiga anak ini hingga ke akhir hayat,” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Sambil mengalirkan air mata, Nordi memeluk erat Nurul Shafiza Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9, dan anak bongsunya, Nur Masyita Amiera, 8.

Anak sulungnya, Siti Norzana, 12, sedang dikesan kerana tidak tinggal bersama keluarga ibu tiri, Karsini Kaslam, 25.

Kepulangan empat beranak itu bersama dua pegawai Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Zuhairi Selamat dan Kamalkhalid Kamaludin disambut Pengerusi biro berkenaan, Datuk Khairun Aseh. Usaha menjejak dan membawa mereka pulang dijayakan dengan kerjasama Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Misi membawa pulang empat beradik yang terkandas di Indonesia sejak Mei 2010 itu bermula apabila Nordi meminta bantuan biro berkenaan.

“Tidak boleh saya bayangkan keselamatan mereka berada dalam hutan rimba, itu saya paling sedih. Kalau dipatuk ular macam mana. Kini mereka sudah berada di pangkuan, saya akan jaga walau sesukar mana pun... saya akan hantar mereka ke sekolah,” katanya yang menetap di Taman Kempas, Johor.

Nordi yang sudah bercerai dengan wanita Indonesia itu, berkata beliau amat sedih apabila setiap kali mengenangkan kesukaran anak-anaknya yang terpaksa bekerja kampung dengan mencari kayu, makanan untuk kambing atau akar ubat di hutan bagi menyara keluarga.

Nurul Shafiza yang bercakap pelat bahasa Indonesia, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dapat bersama bapanya sambil memaklumkan tidak mahu melepaskan peluang menimba ilmu di sekolah dan dengan penuh yakin memberitahu tidak mahu lagi pulang ke Lampung.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairun berkata, pihaknya akan mengusahakan sumbangan kepada keluarga terbabit bagi meringankan beban mereka selepas membawa tiga kanak-kanak itu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum menguruskan kemasukan mereka ke sekolah.

Berita Harian 1 Jul 2012


Lima tahun jadi tebusan ibu tiri

SEPANG - "Kami hanya diberi makanan dua senduk nasi sehari, dipaksa masuk ke hutan dari pagi hingga ke petang dan mencari hasil hutan untuk dijual sebelum duit jualan dibahagikan kepada ibu tiri kami.

"Kalau kami buat salah walaupun kecil, kami akan dipukul," kata seorang daripada tiga kanak-kanak rakyat Malaysia yang 'diselamatkan' Pemuda UMNO selepas hidup bersama ibu tiri mereka di Lampung, Sumatera untuk dijadikan tebusan bagi memeras ugut bapa kandung tiga beradik itu.

Nurul Safiza Fitri, 11, anak kedua daripada empat adik-beradik itu mengadu, sejak tinggal dengan ibu tiri, Kasini Kaslam, 25, mereka dipaksa bekerja dan selalu dipukul walaupun atas kesalahan kecil, selain tidak dibenarkan bersekolah.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Mohd. Khairun Aseh berkata, kejayaan misi membawa pulang Nurul Safiza serta dua adiknya, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, adalah berkat kerja keras kakitangan biro itu yang bertolak ke Lampung pada 26 Jun lalu.

Bagaimanapun, kakak mereka, Siti Norzana, 12, gagal dibawa pulang kerana tinggal dengan saudara Kasini di Temusuci, Jawa Timur.

"Walaupun pelbagai halangan yang perlu ditempuhi pegawai kami dalam misi membawa pulang tiga beradik itu di sana, termasuk memandu hampir tujuh jam, namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk mengeluarkan adik-beradik itu daripada kehidupan yang daif di sana.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kedutaan kita di Indonesia dan pihak berkuasa republik itu kerana telah membantu dalam proses membawa pulang kanak-kanak itu," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan tiga beradik itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Mohd. Khairun berkata, rentetan masalah itu bermula apabila ibu kandung kanak-kanak terbabit, Mohaina Asmad, 34, yang berasal dari Sabah, meninggalkan mereka dan suaminya, Nordi Adi, 57, pada 2005.

Nordi kemudian berkahwin dengan Kasini yang kerap membantunya dalam menguruskan perniagaan baja pertanian semasa di Pontian, Johor pada tahun 2007.

Dia kemudian membawa keempat-empat anaknya itu berhijrah ke Lampung, Sumatera untuk memulakan hidup baharu bersama keluarga Kasini di Lampung.

Namun setahun kemudian, Nordi pulang ke Malaysia seorang diri untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Dia (Nordi) pernah berhasrat membawa pulang anak-anak tetapi isterinya menghalang.

"Kasini juga mengugut supaya diberikan wang sebagai syarat untuk Nordi membawa pulang keempat-empat anaknya," kata Mohd. Khairun.

Kosmo! pada 26 Jun lalu melaporkan dakwaan Nordi bahawa dia telah mengeluarkan RM27,000 daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang itu kemudian diberikan kepada Kasini.

Namun tindakan itu nyata sia-sia kerana wanita tersebut didakwa tetap berkeras untuk tidak membenarkan empat beradik terbabit dibawa pulang.

"Nordi kemudian meminta bantuan kami dan syukurlah usaha kita berjaya," katanya.

Menceritakan pengalamannya dalam misi itu, Penolong Pegawai Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Zuhairi Selamat, 39, berkata, pelbagai halangan terpaksa ditempuhi beliau dan rakannya, termasuk berdepan masyarakat kampung yang tidak memahami situasi sebenar semasa proses rundingan dilakukan.

"Kita terpaksa berdepan masalah dengan pihak Imigresen kerana kanak-kanak tersebut memasuki Indonesia secara tidak sah. Mereka tidak mempunyai dokumen ketika memasuki republik itu. Namun hasil perbincangan kedua-dua pihak, akhirnya mereka dibenarkan berlepas ke negara ini," katanya.

Sementara itu, Nordi tidak dapat membayangkan keadaan anak-anaknya jika tidak dibawa pulang ke Malaysia.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membawa pulang anak-anak saya. Tanpa bantuan mereka, mungkin saya tidak dapat lagi bertemu dengan mereka," katanya sambil menambah isteri keduanya itu telah diceraikan kelmarin dengan talak satu.

Kosmo 1 Jul 2012


Jaga hingga akhir hayat

SEPANG: “Saya senang hati apabila dapat membawa balik tiga anak ke tanah air, sekarang saya akan jaga mereka dengan tulang empat kerat ini hingga ke akhir hayat,” kata Nordi Adi, 57, bapa kepada empat beradik yang didakwa ‘disimpan’ ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia.

Sambil menangis teresak-esak dan memeluk erat ketiga-tiga anaknya, iaitu Nur Masyita Amiera 8; Muhammad Nurhan, 9, dan Nurul Safiza Fitri, 11, Nordi berkata, dia yakin anak sulungnya, Siti Norzana, 12, yang masih berada di Lampung, dapat dibawa balik dengan segera kerana dia menjadi harapan Nordi untuk menjaga anak.

Katanya, dia sedih setiap kali mengenangkan kesukaran anaknya yang terpaksa bekerja kampung dengan mencari kayu, makanan untuk kambing atau akar ubat di hutan bagi membantu menyara keluarga.

“Yang penting sekarang, saya nak sekolahkan mereka kerana mereka tidak boleh bergantung kepada saya sepenuhnya...mungkin usia saya tak lama, tapi kalau Allah panjangkan umur saya, sehingga itulah saya akan jaga mereka,” katanya ketika ditemui selepas tiba dari Jakarta, Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam.

Kepulangan mereka turut disambut Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh.

Misi membawa pulang tiga beradik diketuai dua pegawai biro itu bermula apabila Nordi meminta bantuan biro berkenaan membawa pulang anaknya yang terkandas di Indonesia sejak Mei 2010.

Walaupun menghadapi pelbagai rintangan, termasuk soal dokumen dan logistik, tiga anak kandung Nordi berjaya dibawa pulang semalam, manakala anak sulungnya sedang dikesan kerana tidak tinggal bersama keluarga ibu tirinya.

Nordi yang menceraikan isterinya, Karsini Kaslam, 25, berkata, sejak berpisah dengan anaknya dia sentiasa memikirkan nasib mereka, namun tidak mampu melakukan apa-apa.

“Setiap hari dan saat saya memikirkan mereka, tengah kerja pun sama...tak dapat bayangkan keadaan mereka, sehingga mendapat bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno.

“Tanpa bantuan mereka, 10 tahun lagi pun tak mungkin saya dapat jumpa anak saya,” katanya yang membawa anaknya pulang ke Taman Kempas, Johor untuk memulakan kehidupan baru.

myMetro 1 Jul 2012


Seronok dapat balik

SEPANG: “(Kalau bekerja) upahnya dapat makan, tapi kalau dapat sikit, disuruh makannya dua senduk (dua sudu), kalau dapat (upah) banyak baru makan pun banyak,” kata Nurul Safiza Fitri Nordi, 11, anak kedua Nordi Adi, yang didakwa ‘disimpan’ ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia.

Nurul Safiza yang bercakap pekat bahasa Indonesia berkata, ada ketikanya ibu tirinya, Karsini Kaslam, 25, memarahi dan memukul mereka jika melakukan kesalahan walaupun sedikit, selain dipaksa bekerja.

Namun, katanya, dia masih berpeluang bermain dengan rakan jika selesai bekerja atau melakukan tugasan diberi.

“Seronok dapat balik, rindu abah...saya nak sekolah. Saya tak nak balik sana (Lampung, Indonesia). Di sana saya kerja, cari ubat, tak takut masuk hutan dan biasanya petang baru pulang, saya juga biasa masak untuk keluarga,” katanya.

myMetro 1 Jul 2012


Tunggu kakak untuk sambut raya

NORDI bersama Nurul Safiza Fitri (kanan), Muhammad Nurhan (kiri) dan Nurmasyita Amiera di Taman Kempas, Johor Bahru semalam, manakala gambar kecil, Siti Norzana (kanan) yang kini masih berada di Temusuci, Jawa Timur.

JOHOR BAHRU – Seorang bapa, Nordi Adi, 57, berharap agar anak sulungnya, Siti Norzana, 12, yang kini berada di Jawa Timur, Indonesia berjaya dibawa pulang sebelum Aidilfitri ini bagi membolehkan mereka sekeluarga menyambut hari raya bersama-sama.

Menurut Nordi, meskipun gembira kerana tiga anaknya, Nurul Safiza Fitri, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, telah berjaya dibawa pulang, namun mereka sekeluarga masih menunggu Siti Norzana walaupun terlalu risau dengan nasib kanak-kanak itu.

Katanya, pada masa ini, Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO masih berusaha membawa pulang Siti Norzana yang kini menetap bersama saudara ibu tirinya, Karsini Kaslam, 25, di Temusuci, Jawa Timur.

“Tiga daripada empat anak saya sudah berada di depan mata dan saya amat bersyukur kerana kami dapat ditemukan semula. Namun, setiap kali mengenangkan Siti Norzana, hati saya jadi sayu.

“Saya amat berharap agar dapat menyambut Aidilfitri tahun ini bersama semua empat anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kempas di sini semalam.

Kosmo 4 Jul 2012


Tinggal kakak seorang

JOHOR BAHRU: “Selepas puas menelefon, akhirnya saya dapat bercakap dengan Karsini dua hari lalu, namun dia tidak berhenti menghamburkan kata-kata kesat kepada saya dan mengatakan saya suami yang tidak bertanggungjawab.

“Saya terlalu bimbang dengan keselamatan anak sulung kami, Siti Norzana, 12, yang kini bersama Karsini. Saya risau dia diperlakukan dengan kejam oleh saudara mara Karsini,” kata Nordi Adi, 57, bapa kepada empat beradik yang didakwa ‘disimpan’ ibu tiri mereka, Karsini Kaslam, 25, di Lampung, Indonesia.

Menurut Nordi, dia merayu supaya proses membawa pulang Norzana dipercepatkan ekoran bimbang kejadian buruk akan menimpa anaknya itu.

“Saya kemudiannya memarahi Karsini selain bertanya kepadanya berapa bayaran yang diterimanya sekiranya dia mahu menjual Norzana.

“Saya sendiri sebenarnya tidak tahu sama ada Karsini mahu menjual Norzana atau sebaliknya. Saya hanya bimbangkan keadaan Norzana hinggakan sering terfikir perkara yang bukan-bukan,” katanya, di sini, semalam.

Menurut Nordi, dia tidak mahu Norzana dicederakan dan berharap kanak-kanak berkenaan dapat pulang ke pangkuannya serta hidup bersama tiga adiknya yang lain di sini.

Nordi yang menetap di Taman Kempas, Kempas dengan tiga anaknya itu berkata, dia yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan sudah menghabiskan kira-kira RM92,000 untuk diserahkan kepada Karsini.

“Sekiranya Norzana kembali ke pangkuan saya, saya tidak sekali-kali membenarkannya diambil semula.

“Saya hanya akan benarkan Karsini datang melawat anak, namun tidak akan termakan rayuannya jika dia mahukan kembali anak untuk dipelihara,” katanya yang menambah Biro Aduan Komuniti Umno akan ke Lampung dalam usaha untuk mendapatkan Norzana dalam masa terdekat.

Sementara itu, tiga adik Norzana, Nurmasyita Amiera, 8, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurul Safiza Futri, 11, juga mempunyai harapan sama seperti bapa mereka.

Malah Safiza berkata, dia sudah hilang rasa sayang terhadap ibu tirinya selepas menderita selain kerap dimarahi dan dipukul jika melakukan kesalahan walaupun sedikit.

Empat beradik berkenaan turut didakwa dipaksa bekerja sepanjang masa berada di Lampung.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan keempat-empat anak Nordi dijadikan tebusan oleh Karsini bagi memeras ugut lelaki berkenaan.

Namun, hasil bantuan Biro Aduan Komuniti Umno, tiga daripadanya dapat diselamatkan dan tiba di tanah air pada 30 Jun lalu.

Penderitaan mereka bermula apabila Nordi mengahwini Karsini sebagai isteri kedua selepas isteri pertama menghilangkan diri.

Nordi membuat keputusan berhijrah bersama anaknya ke Lampung bagi memulakan kehidupan bersama isteri baru serta keluarga mentuanya, namun kecewa apabila ditipu sebaik tiba di sana.

Nordi dipaksa memindahkan semua wang simpanannya termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke akaun milik wanita terbabit berjumlah RM77,000.

Nordi dan empat anaknya kemudiannya ditinggalkan sehelai sepinggang di rumah ibu Karsini sebelum lelaki berkenaan kembali ke Malaysia bagi mengumpul wang untuk membawa pulang keempat-empat anaknya itu.

myMetro 6 Jul 2012


Bersiap ke sekolah

JOHOR BAHRU: Persiapan tiga beradik yang baru dibawa pulang selepas terkandas dua tahun di Lampung, Indonesia, untuk memasuki alam persekolahan berjalan lancar apabila impian itu disokong pelbagai pihak yang prihatin.

Selepas menyelesaikan urusan pendaftaran dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor kelmarin, tiga beradik itu dibawa membeli belah kelengkapan persekolahan masing-masing di Plaza Angsana oleh Pemuda Umno Bahagian Johor Bahru, semalam.

Tiga beradik itu, Nur Masyita Amiera, 8, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurul Safiza Fitri Nordi, 11, ditemani bapa mereka, Nordi Adi, 57, serta Ketua Pemuda Umno Johor Bahru, Khalid Mohamed.

Masing-masing begitu gembira memilih pakaian dan kasut sekolah sebagai persediaan memulakan persekolahan Isnin ini.

Nurul Safiza berkata, dia begitu teruja selepas menerima pelbagai kelengkapan sebelum memulakan persekolahan.

“Saya seronok, dapat baju dan celana baru, adik-adik juga seronok.

“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan menjadi orang berguna satu hari nanti,” katanya.

myMetro 6 Jul 2012


Eksklusif: Norzana kena jual di Lampung



Misi satukan mangsa dengan bapa, tiga adik tak berhasil

Lampung, Indonesia: Kanak-kanak perempuan Malaysia, Siti Norzana Nordi yang terkandas di Mesuji, Indonesia, dipercayai sudah dijual kepada pihak ketiga sehingga menggagalkan usaha membawanya pulang.

Berita Harian 17 Jul 2012


Bapa rayu keluarga angkat serah semula anak

Johor Bahru: “Saya berharap semua pihak tidak putus asa membantu membawa keluar Zana dari Indonesia. Saya merayu agar keluarga angkatnya menyerahkan kembali anak saya,” rayu bapa Siti Norzana, Nordi Adi.

Nordi, 57, bersyukur tiga anaknya yang lain, Nurul Safiza Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9 dan Nur Masyita Amiera, 8, berjaya dibawa pulang akhir bulan lalu, tetapi pada masa sama bimbangkan keadaan Siti Norzana yang terus terperangkap di Lampung. Bapa harap misi berjaya

Beliau berharap dan berdoa semoga usaha Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO dan BH yang berada di negara itu dalam misi menyelamatkan kanak-kanak terbabit akan beroleh kejayaan dengan kerja-sama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

“Saya berharap Zana dapat balik ke Malaysia. Saya menaruh keyakinan tinggi terhadap usaha mereka. Malah, tiga anak saya yang lain juga amat rindukan kakak mereka.

“Saya kasihan dengan Zana dan bimbang keselamatannya yang mungkin dilayan buruk selain terpaksa menjadi orang suruhan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam, selepas rundingan pasukan misi dengan keluarga angkat Siti Norzana di Mesuji, Indonesia, kelmarin, menemui jalan buntu.

BH semalam melaporkan usaha itu gagal selepas lelaki mendakwa bapa angkat Siti Norzana, enggan membenarkannya pulang ke Malaysia.

Sementara itu, Nurul Safiza berkata, beliau bermimpi menemui kakaknya yang pulang ke rumah mereka di Taman Kempas dekat sini dan berharap ia akan menjadi kenyataan.

“Semalam (Isnin) saya bermimpi kakak pulang ke rumah ini. Saya berharap ia menjadi kenyataan dan kakak dapat pulang semula,” katanya.

Berita Harian 18 Jul 2012


Pemuda Umno: Ada bukti Siti Norzana dijual, dipaksa jadi buruh kasar

KUALA LUMPUR - Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, mempunyai bukti berlakunya jenayah pemerdagangan manusia terhadap Siti Norzana Nordi, 12, yang dilarikan oleh ibu tirinya ke Lampung Indonesia, Mei 2010.

Pengerusinya, Datuk Khairun Aseh berkata, maklumat ini diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan oleh biro berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan itu menunjukkan bahawa Siti Norzana menjadi mangsa pemerdagangan oleh ibu tirinya yang juga warga Indonesia.

“Kanak-kanak terbabit dipercayai dijaga seorang lelaki yang telah membelinya dan dipaksa menjadi buruh kasar.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu menjadi hamba seks, bagaimanapun kami sedang mengumpul bukti mengenainya,” katanya semalam.

Sebelum ini, Siti Norzana bersama tiga adiknya iaitu Nurul Safiza Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8, dibawa ke kampung halaman ibu tirinya, Karsini Chaslam, 25, oleh bapa mereka Nordi Adi, 57.

Ketika berada di sana, Nordi ditipu oleh Karsini dan menjadikan anaknya sebagai mangsa ugutan bagi Nordi menyerahkan semua wang simpanannya.

Setelah memperoleh wang berkenaan, Karsini membawa empat beradik itu ke Lampung dan meninggalkan mereka di situ.

Bagaimanapun tiga adik Siti Norzana berjaya dibawa pulang pada 30 Jun lalu, hasil bantuan Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno.

Khairun berkata, pihaknya juga meminta kerjasama daripada Kerajaan Indonesia bagi menyelesaikan masalah tersebut kerana lelaki yang didakwa menjaga Siti Norzana enggan melepaskan kanak-kanak itu.

Menurutnya, lelaki ini juga bertindak ganas terhadap dua kakitangan biro yang menemui mereka baru-baru ini.

“Kami akan menghantar nota rayuan kepada Kedutaan Indonesia hari ini (semalam), bagi menggesa pihak berkuasa dan kerajaan Indonesia campur tangan dalam isu ini.

“Saya juga sudah memaklumkan perkara ini kepada polis antarabangsa (Interpol) bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Nordi berkata, perkara terbabit tidak mustahil berlaku ke atas anak sulungnya.

Menurutnya, dia mengesyaki sesuatu yang buruk dilakukan ke atas anaknya, namun enggan mendedahkannya selagi Siti Norzana atau lebih mesra dengan panggilan Zana belum kembali ke pangkuan keluarganya di Malaysia.

“Saya memang ada terdetik perkara (tidak baik) berlaku ke atas Zana, kerana Nurul Safiza Fitri, (anak kedua) saya ada menceritakan beberapa perkara sekembalinya dia di sini.

“Saya tidak mahu mendedahkan perkara ini selagi Zana tidak pulang lagi kerana khuatir Zana akan diapa-apakan atau perkara yang lebih buruk mungkin berlaku. Tapi saya akan mengambil tindakan sepatutnya selepas mendapatkan kepastian apa yang berlaku dan mereka yang (menzalimi) anak saya akan diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Menurut Nordi, dia tidak sabar membawa Siti Norzana pulang dan akan berasa terkilan jika perkara tidak baik ini benar-benar berlaku.

“Kekhilafan dua tahun di sana menjerat Zana kepada sesuatu yang tidak baik,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sinar Harian 18 Jul 2012


Bapa sedih Siti Norzana kena jual

JOHOR BAHRU – Bapa kepada Siti Norzana Nordi, 12, yang dipercayai telah dijual dan menjadi mangsa pemerdagangan orang terkejut dan terlalu sayu mendengar nasib malang yang menimpa anak kesayangannya itu.

“Saya tidak tahu hendak kata apa, saya cukup sedih. Bila menatap wajahnya di akhbar, saya dapat rasa beban yang sedang ditanggungnya,” kata Nordi Adi, 40, ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Nordi yang telah menceraikan isterinya, Karsini Kaslam, 25, percaya, perbuatan menjual anak sulungnya itu didalangi oleh bekas ibu mertua dan bekas iparnya yang menetap di Mesuji, Lampung, Jawa Timur tidak jauh dari kediaman Karsini.

“Saya hampir pasti dan anak saya, Nurul Safiza Fitri turut beberapa kali maklum kepada saya tentang hal ini,” ujarnya sebak.

Nordi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini juga mengesyaki sesuatu yang lebih buruk berlaku ke atas Siti Norzana namun tidak mahu mendedahkannya selagi anaknya tidak kembali ke Malaysia bersamanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Siti Norzana bersama tiga adiknya iaitu Nurul Safiza Fitri, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, dijadikan tebusan oleh Karsini bagi memeras ugut Nordi.

Hasil bantuan Biro Aduan Komuniti UMNO, kesemua mereka kecuali Siti Norzana dapat dibawa pulang dari Lampung, Indonesia dan selamat tiba di tanah air pada 30 Jun lalu. Dia ketika itu dikatakan tinggal berasingan dengan saudara ibu tirinya di Temusuci, Indonesia.

Kelmarin, Pengerusi biro berkenaan, Datuk Muhd. Khairun Aseh mendedahkan bahawa kanak-kanak berkenaan menjadi mangsa pemerdagangan dan dipercayai dijaga seorang lelaki yang telah membelinya dan dipaksa menjadi buruh kasar.

“Kami sekeluarga berdoa agar Zana dapat diselamatkan dan saya berhasrat menemui Zana di sana jika diberi peluang,” kata Nordi.

Kosmo 19 Jul 2012


Polis Indonesia siasat kes kanak-kanak Malaysia 'dijual'

KUALA LUMPUR - Polis Republik Indonesia (Polri) akan menyiasat sama ada wujud unsur pelanggaran undang-undang berhubung kes seorang kanak-kanak warga Malaysia berusia 12 tahun yang didakwa dijual dan menjadi buruh paksa di republik itu.

Timbalan Ketua Badan Reserse Kriminal (Bareskrim) Polri, Inspektor Jeneral Drs Saud Usman Nasution berkata pihaknya akan meminta polis daerah Lampung, Sumatera Selatan untuk menyiasat perkara itu sebelum tindakan lanjut diambil.

"Kita akan siasat benar atau tidak dakwaan tersebut (ada unsur penjualan) dan jika benar kita akan mengambil tindakan dan memaklumkan kepada Polis Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dua hala antara Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bareskrim Polri di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan akan menjurus sama ada wujud unsur pemerdagangan kanak-kanak, pekerja komersial seks atau bekerja di bawah umur 16 tahun.

Dua hari lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan Siti Norzana Nordi, 12, kini terkandas di Mesuji, Lampung selepas dipercayai dijual kepada pihak ketiga dan dijadikan buruh paksa di daerah berkenaan.

Kisah sedih Siti Norzana bermula apabila dia bersama tiga lagi adiknya iaitu Nurul Safiza Fitri, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, ditinggalkan ibu kandungnya yang berasal dari Sabah pada 2005.

Bapa beliau, Nordi Adi, 57, kemudian mengambil keputusan berkahwin dengan seorang wanita Indonesia, Kasini Kaslam pada 2007 sebelum mereka sekeluarga menetap di negara tersebut.

Setahun kemudian, Nordi pulang ke negara ini seorang diri dan bekerja sebagai pengawal keselamatan dan hasratnya membawa pulang anak-anaknya ke Malaysia dihalang Kasini dengan mengugut supaya diberikan sejumlah wang sebagai syarat membawa pulang keempat-empat anaknya itu ke sini.

Ketiga-tiga adik Siti Norzana, bagaimanapun berjaya dibawa pulang ke Malaysia pada 30 Jun lepas hasil rundingan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno dengan keluarga ibu tiri mereka. - Bernama

19 Jul 2012


Nordi putus harapan, anggap 'anak sudah mati'

JOHOR BAHRU – “Anak saya Zana saya anggap dah mati," demikian mesej tertera dalam sistem pesanan ringkas (SMS) yang dikirim oleh pengawal keselamatan, Nordi Adi, 57, kepada Sinar Harian, semalam.

Nordi sebelum ini mengejutkan rakyat Malaysia apabila berjaya mendapatkan semula tiga anaknya yang dilarikan ibu tiri mereka ke Lampung, Indonesia pada 30 Jun lalu, kecuali anak sulungnya Siti Norzana, 12, yang masih terkandas kerana dikatakan dihantar ke daerah lain untuk bekerja sebagai buruh paksa.

Menurut Nordi, hidupnya kini diselubungi kesedihan dan kebuntuan kerana tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk membawa pulang Siti Norzana.

“Takbir raya hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, tetapi saya masih tidak mendapat sebarang berita tentang Zana dari tanah seberang.

“Saya juga pernah terfikir untuk ke Indonesia Syawal ini untuk terus mencari Zana. Demi anak dan maruah, mati pun saya rela,” katanya dengan nada sebak, semalam.

Bagaimana pun, dia bimbang impian itu tidak terlaksana kerana dihimpit masalah kewangan.

“Dengan pendapatan saya sebanyak RM900 memang hanya cukup hendak menanggung kehidupan kami berempat sahaja," katanya.

Nordi juga berputus harap untuk membawa pulang Siti Norzana kerana anaknya itu dikawal ketat oleh bekas isteri, Karsini, 28.

“Saya buntu kerana undang-undang tidak dapat dilaksanakan di sana untuk mengembalikan Zana.

“'Undang-undang' wanita Indonesia (Karsini) dan penduduk kampung di sana lebih kuat,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh memaklumkan beliau mempunyai bukti berlakunya perdagangan manusia terhadap Siti Norzana yang dilarikan ibu tirinya ke Lampung, Indonesia, Mei 2010 lalu.

Tiga anak Nordi yang lain, Nurul Safiza Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8 bagaimanapun berjaya dibawa pulang oleh Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno pada 30 Jun lalu.

Sinar Harian 10 Ogos 2012


Bapa tekad tinggalkan 3 anak

JOHOR BAHRU – Nordi Adi, bapa kepada Siti Norzana, 12, yang masih terkandas di Indonesia bersama keluarga bekas isteri keduanya, Karsini Kaslam, 25, tekad meninggalkan tiga anaknya bersendirian di Flat Taman Kempas di sini.

Lelaki itu dipercayai menuju ke Lampung, Indonesia bersendirian untuk menyelamatkan anaknya yang kini didakwa di bawah cengkaman bapa angkatnya.

Dia dipercayai berbuat demikian lantaran kecewa kerana mendakwa sudah terlalu lama menunggu janji pihak tertentu untuk membawa anak kesayangannya pulang ke pangkuannya.

Namun, sebelum bertekad meninggalkan tanah air, niat itu terlebih dulu telah disuarakan Nordi, 57, kepada wartawan Kosmo! melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon yang dibuat sejam sebelum dia berangkat ke negara seberang.

Berikut adalah beberapa petikan SMS yang dihantar kepada Kosmo!:

Nordi: Mungkin esok (24 Ogos lalu), saya akan tinggalkan tiga anak saya.

Kosmo!: Apa maksud pakcik?

Nordi: Saya pergi sahut cabaran bapa angkat Siti Norzana. Tunggu berita Interpol, macam tunggu buah tak gugur.

Kosmo!: Pakcik sudah beli tiket kapal terbang?

Nordi: Saya keluar melalui jalan belakang.

Nordi dipercayai meninggalkan rumah dan tiga anaknya, Nurul Safiza, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8, di Flat Taman Kempas di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 24 Ogos lalu menggunakan perkhidmatan feri.

Membuktikan tindak-tanduknya bukan main-main, dia menghubungi Kosmo! semula menggunakan talian dari Indonesia kira-kira pukul 3.45 petang pada hari yang sama.

“Saya sudah berada di Lampung, saya sudah bersedia berjuang walau apa juga rintangan untuk selamatkan Zana, tolong tengok-tengokkan anak saya,” katanya ringkas.

Nordi sebelum ini telah mendapatkan bantuan daripada Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyelamatkan empat anaknya yang didakwa diculik dan disimpan oleh ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia, sejak dua tahun lalu.

Misi itu, bagaimanapun hanya berjaya membawa pulang tiga daripada mereka manakala Siti Norzana tidak dapat dibawa bersama pada 30 Jun lalu selepas Suwwandi Kariorojo, 44, yang mendakwa sebagai bapa angkat kanak-kanak itu enggan membenarkannya pulang ke negara ini.

Dalam pada itu, Nordi ketika ditanya bagaimana nasib ketiga-tiga anaknya yang ditinggalkannya, jawabnya: “Saya serah kepada Allah. Tiada siapa menjaga mereka, sudah kehendak takdir, terpaksa saya terima dugaan ini. Untuk seminggu dua (duit belanja) cukup, seterusnya, entahlah.”

Kosmo 28 Ogos 2012


Nordi pulang hampa

JOHOR BAHRU 28 Ogos - Hasrat Nordi Adi, 57, untuk membawa pulang anak sulungnya, Siti Norzana, 12, yang masih terkandas di Lampung, Indonesia gagal menyebabkan dia terpaksa pulang semula ke negara ini dengan tangan kosong.

Nordi terpaksa membatalkan niatnya itu selepas mendakwa seorang Pegawai Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO yang menghubunginya sebaik tiba di Dumai, Indonesia Sabtu lalu melarangnya meneruskan misi tersebut.

"Menurut pegawai tersebut, anak saya (Siti Norzana) sudah diambil oleh pihak berkuasa Indonesia dan kini berada di dalam jagaan mereka sejak beberapa hari lalu.

Utusan 29 Ogos 2012


Siti Norzana akan dibawa pulang

PUTRAJAYA - Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, akan berlepas ke Lampung, Indonesia, Ahad ini, bagi mengurus proses membawa pulang Siti Norzana Nordi, 12, yang dilarikan ibu tirinya pada Mei 2010 lalu.

Pengerusinya, Datuk Khairun Aseh berkata, beliau sendiri akan mengetuai misi itu termasuk berjumpa dan berurusan dengan kerajaan Indonesia.

“Polis Indonesia akan membawa saya berjumpa dengan Siti Norzana. Ini kerana di sana agak tegang, oleh itu kita perlukan bantuan dari pihak berkuasa mereka.

“Keluarga menjaga Siti Norzana masih enggan melepas kanak-kanak itu, malah mereka dakwa Siti Norzana telah diserahkan kepada mereka oleh ibu tirinya,” katanya.

Khairun berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kepada ayah Norzana, Nordi Adi, bahawa biro aduan akan berlepas ke sana Ahad ini.

Menurutnya, beliau juga menasihatkan Nordi agar tidak ke Lampung secara bersendirian kerana dikhuatiri berlaku kejadian tidak diingini.

“Keadaan di sana tidak begitu memuaskan, oleh itu saya menasihatkan agar dia tidak pergi ke Lampung,” katanya.

Menurutnya, proses untuk membawa pulang kanak-kanak itu akan mengambil masa kerana kerajaan Indonesia mengesan beberapa kesalahan berkaitan Imigresen.

Sebelum ini, Siti Norzana dan tiga adiknya iaitu, Nurul Safiza Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9, serta Nur Masyita Amiera, 8, telah dibawa ke kampung halaman ibu tirinya, Karsini Chaslam, 25, oleh bapa mereka Nordi Adi.

Ketika di sana, Nordi ditipu Karsini dan menjadikan anaknya sebagai mangsa ugutan bagi Nordi serahkan semua wang simpanannya.

Karsini kemudiannya membawa empat beradik itu ke Lampung,  setelah memperoleh wang berkenaan dan meninggalkan mereka di situ.

Bagaimanapun tiga adik Siti Norzana berjaya dibawa pulang pada 30 Jun.

Sinar Harian 30 Ogos 2012


Pemuda UMNO hantar hadiah untuk Siti Norzana

KUALA LUMPUR 31 Ogos - Ulang tahun ke-12 Siti Norzana Nordi yang terkandas di Lampung, Indonesia hari ini akibat masalah keluarga, pastinya menjadi yang paling istimewa dan tidak dapat dilupakan oleh kanak-kanak itu.

Ini kerana dalam usaha membawanya pulang ke tanah air selepas dia dilaporkan telah dijual kepada keluarga angkat di negara jiran, Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO tidak lupa untuk mengutuskan beberapa hadiah istimewa kepadanya.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, hadiah tersebut dibawa oleh wakil biro tersebut yang berlepas ke Lampung pagi ini untuk berbincang dengan keluarga angkat kanak-kanak itu.

"Kita harap hadiah berkenaan dapat menggembirakan Siti Norzana yang begitu berharap dapat pulang ke negara ini secepat mungkin untuk memulakan kehidupan barunya bersama ayah dan tiga lagi adiknya.

"Siti Norzana ada menghubungi ayahnya pada raya ketiga lalu dan dengan nada hiba, kanak-kanak itu menyampaikan hasrat untuk pulang dan tinggal bersama keluarganya di negara ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Siti Norzana merupakan seorang daripada empat beradik warganegara Malaysia yang terkandas di Lampung, Indonesia sejak dua tahun lalu selepas ibu tiri mereka menghilangkan diri.

Utusan 1 Sep 2012


Kes dera: Bapa Zana dijel 10 bulan

JOHOR BAHRU – “Saya mengaku bersalah, tetapi tujuan saya bertindak demikian adalah untuk mendidik anak-anak saya kerana mereka terlalu nakal dan sering keluar pada waktu malam.

“Malah jiran saya juga pernah mengambil anak-anak tanpa pengetahuan saya, saya bimbang berlaku perkara tidak diingini kepada anak-anak perempuan saya kerana jiran mempunyai anak lelaki."

Itu pengakuan Nordi Adi, 57, ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya selepas mengaku bersalah melakukan penganiayaan terhadap tiga anaknya, namun meminta hukuman diringankan berikutan faktor usia dan pendapatan yang tidak menentu.

Nordi iaitu bapa kepada kanak-kanak yang dilarikan ibu tirinya ke Lampong, Indonesia, dikenakan hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tiga tuduhan mendera tiga anaknya.

Nordi yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dituduh menganiaya tiga anaknya Nurul Safiza Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyieta Amiera, 8, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada 21 Disember lalu kira-kira jam 6 pagi hingga 6 petang bertempat
di Flat Taman Kempas, Kempas, di sini.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Mohd Ali dan Goh Sze Han mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

myMetro 28 Dis 2012



‘Saya sangat rindu 3 anak’

“Saya penuhi masa dalam penjara dengan beribadat menanti waktu dibebaskan dan apabila dibebaskan nanti, saya mahu memeluk tiga anak kerana saya terlalu rindukan mereka,” kata Nordi Adi, 58, ketika dilawati di Penjara Kluang di sini, baru-baru ini.

Nordi bapa kepada empat beradik yang dilarikan bekas isterinya ke Lampung sebelum tiga dibawa pulang pada 30 Jun lalu. Anaknya, Siti Norzana, 13, masih berada di Lampung kerana enggan kembali ke negara ini.

Dia dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 27 Disember 2012 atas tuduhan mendera tiga anaknya di rumah mereka di Taman Kempas menggunakan paip PVC dan tali pinggang, 21 Disember lalu.

Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Katanya, harapannya masih kuat untuk membawa pulang Siti Norzana dan hidup bersamanya serta tiga anak lain, Nurmasyita Amiera, 9, Muhammad Nurhan, 10, dan Nurul Safiza Fitri, 12.

“Saya tidak putus berdoa Zana dan tiga anak yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sihat,” katanya.

Menurutnya, dia reda dipenjara 10 bulan kerana memukul tiga anaknya walaupun niat sebenarnya untuk mendidik.

“Ini dugaan Tuhan. Saya juga berharap anak tidak membenci saya kerana perkara lalu selain dapat memulakan kehidupan baru selepas dibebaskan,” katanya.

Dia bercadang menyambung pekerjaannya sebagai pengawal keselamatan di tempat bekerja sebelum ini memandangkan gaji diterima berpatutan.

“Saya harap majikan menerima saya kembali,” katanya.

myMetro 29 Jan 2013











0 comments:

Post a Comment