June 17, 2012

Warga emas mati dalam kejadian samun


Tangan terikat, warga emas mati akibat serangan jantung

Keadaan siling yang dipecahkan kumpulan berkenaan sebagai laluan masuk ke rumah mangsa.

KUALA KANGSAR - Seorang warga emas ditemui mati dengan keadaan kedua-dua tangannya terikat dalam satu kejadian samun bersenjata di kediamannya di Taman Highland, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, Zulkifli Shamsudin, 62, dikatakan baru sahaja pulang bersama isterinya selepas selesai menjalankan perniagaan yang terletak tiga kilometer dari kediaman mereka.

Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah itu, mangsa bersama isteri yang ketika itu sedang berehat di bahagian dapur rumah, secara tiba-tiba diserang empat lelaki bertopeng yang menyerbu masuk lalu mengikat mangsa.

Mangsa yang turut  mengalami kesan cedera di bahagian bawah dagu diikat menggunakan wayar telefon manakala isterinya, Radiah Kamaruddin, 62, diikat dengan wayar periuk nasi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, isteri mangsa yang berjaya meloloskan diri keluar melalui pintu belakang dan meminta bantuan penduduk berhampiran untuk menghubungi polis.

Menurutnya, polis yang menerima laporan berhubung kejadian itu segera ke lokasi dan berjaya memberkas seorang daripada ahli kumpulan berkenaan.

“Ketika itu, tiga yang lain berjaya melarikan diri, bagaimanapun seorang daripada mereka berusia 47 tahun berjaya diberkas selepas didapati tersangkut pada bahagian siling rumah mangsa.

“Siasatan awal mendapati, kesemua penjenayah masuk ke rumah berkenaan melalui bumbung sebelum menyerang dan melarikan wang tunai serta barang kemas mangsa bernilai hampir RM20,000,” katanya.

Abdul Gaffar berkata,  daripada pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian, polis turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan kumpulan berkenaan dalam kejadian rompakan itu.

Bagaimanapun katanya, hasil bedah siasat, Zulkifli yang ditemui terbaring di lantai dengan keadaan kedua-dua tangan terikat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat sakit jantung.

Lima jam selepas insiden itu, gerakan pasukan khas yang ditubuhkan polis berjaya menjejaki dua lagi ahli kumpulan berkenaan di sekitar pekan Kuala Kangsar kira-kira jam 10 pagi semalam.

Beliau berkata, dengan penahanan dua  lelaki berusia lingkungan 30-an itu, polis kini sedang menjalankan gerakan untuk mencari seorang lagi ahli kumpulan berkenaan yang dipercayai sedang menyembunyikan diri.

Radiah ketika ditemui mengakui masih trauma mengingati detik kejadian itu.

“Sebaik tiba di rumah saya terus ke dapur untuk memasak air, tiba-tiba kami diserang sekumpulan lelaki dengan pisau, kami diugut agar tidak melawan dan menyerahkan wang serta barang kemas, apabila saya enggan  bekerjasama, mereka bertindak memukul saya,” katanya.

Radiah tidak menyangka, perubahan arwah yang agak kurang selera makan dua hari sebelum insiden itu menjadi petanda pemergian suaminya itu.

Difahamkan, kejadian semalam adalah yang kedua berlaku sejak tahun lalu.

Abang mangsa, Zainul Ariffin Shamsudin, 67, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya itu sekitar dua minggu lalu di sebuah majlis kenduri. “Arwah sangat rapat dengan adik-beradik dan mempunyai ramai kenalan,” katanya.

Jenazah Allahyarham Zulkifli selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Merbau selepas solat Zuhur.        


Sinar Harian 17 Jun 2012

Suami disamun mati terperanjat

KUALA KANGSAR: “Tidak sangka suami meninggal dunia ketika saya pergi mendapatkan bantuan,” kata Radiah Kamarudin, 62, isteri Zulkifli Shamsuddin, 62, yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung selepas rumah mereka dimasuki penjenayah bertopeng bersenjatakan pisau, semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, Radiah berjaya melepaskan ikatan tangannya dan keluar meminta bantuan jiran, tetapi apabila dia pulang tidak lama kemudian, suaminya terbaring tidak sedarkan diri.

“Dia disahkan polis sudah meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar. Keputusan bedah siasat mendapati suami saya meninggal dunia akibat penyakit jantung.

“Tindakan ganas penjenayah mungkin menyebabkan dia terperanjat dan meninggal dunia,” kata Radiah.

Menurut Radiah, setiba di rumah mereka di Taman Highland, di sini, selepas selesai berniaga, dia ke dapur untuk memasak air sebelum menghidangkan minuman kepada suami yang berehat di dapur.

“Tiba-tiba sekumpulan lelaki bertopeng muncul menyerang kami. Mereka mengugut kami dengan pisau supaya tidak melawan dan meminta menyerahkan wang serta barang kemas.

“Mereka mengikat tangan suami menggunakan wayar telefon manakala tangan saya diikat dengan wayar elektrik periuk nasi,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, penjenayah turut memukul kepala dan tubuhnya berulang kali.

“Penjenayah itu berang apabila saya menanggalkan barang kemas dan mencampakkannya ke lantai,” katanya.

Selepas penjenayah itu melarikan diri, dia berjaya membuka ikatan tangannya dan berlari keluar menjerit meminta tolong jiran.

Radiah yang ditemui di rumahnya berkata, kejadian pecah rumah itu pernah berlaku tahun lalu namun ketika itu dia dan suami tiada di rumah.

Sementara itu, adik mangsa, Habibah Shamsuddin, 40-an, berkata, dia dimaklumkan kejadian menimpa abangnya jam 5 pagi semalam.

Habibah yang menetap di Lubuk Merbau, di sini, berkata, dia terkilan dengan kehilangan abangnya dan berharap hukuman sewajarnya dikenakan terhadap kumpulan penjenayah terbabit.

“Abang saya sangat rapat dengan adik-beradik dan mempunyai ramai kenalan. Saya tidak sangka dia meninggal dunia dengan cara begini,” katanya.

myMetro 18 Jun 2012



Suspek tersangkut di siling

KUALA KANGSAR: Seorang daripada empat perompak yang menyebabkan kematian ahli perniagaan, Zulkifli Shamsuddin, 62, diberkas polis selepas didapati tersangkut pada bahagian siling rumah mangsa.

Suspek yang berusia 47 tahun gagal melarikan diri bersama tiga rakannya sebelum diberkas anggota polis yang tiba di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad berkata, siasatan mendapati empat lelaki memecah masuk rumah mangsa jam 4 pagi semalam sebelum mengikat pasangan berkenaan.

Menurutnya, mangsa memanjat bumbung dan memecah masuk melalui siling sebelum mengikat pasangan suami isteri itu.

“Isteri Zulkifli, Radiah Kamarudin, 62, bagaimanapun berjaya membuka ikatan dan meminta bantuan penduduk berhampiran.

“Apabila polis sampai ke rumah itu, tiga penjenayah sudah melarikan diri manakala seorang lagi suspek diberkas di atas siling rumah mangsa,” katanya.

Ghaffar berkata, Zulkifli ditemui terbaring di lantai dan didapati sudah meninggal dunia dengan kedua-dua tangannya terikat selain ada kesan cedera di bawah dagu.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat sebelum disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.

“Kumpulan penjenayah melarikan barang kemas bernilai RM20,000 milik pasangan itu,” katanya.

myMetro 18 Jun 2012


Kes samun: Ahli keempat kini diburu


KUALA KANGSAR - Polis kini sudah mengenal pasti, ahli keempat, sekumpulan lelaki yang bertindak memecah masuk rumah ahli perniagaan, kelmarin sebelum melarikan wang dan barang kemas bernilai hampir RM20,000.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad berkata, pihaknya kini sedang melancarkan operasi mengesan lelaki terbabit yang dipercayai menyembunyikan diri bersama hasil samun.

“Kita sudah kenal pasti individu berkenaan dan kini masih giat melancarkan operasi mencari, berkemungkinan suspek keempat ini yang melarikan wang tunai serta barang kemas mangsa,” katanya dalam satu sidang media, di sini,  semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, seorang warga emas ditemui mati dengan keadaan kedua-dua tangannya terikat dalam satu kejadian samun bersenjata di kediamannya di Taman Highland, Ahad lepas.

Zulkifli Shamsudin,  62, yang dikatakan baru sahaja pulang bersama isterinya selepas selesai menjalankan perniagaan diserang empat lelaki bertopeng yang menyerbu masuk lalu mengikat mangsa.

Zulkifli disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat serangan jantung, sementara isterinya, Radiah Kamaruddin, 62, selamat apabila berjaya meloloskan diri dan meminta bantuan orang ramai.

Berdasarkan siasatan awal ke  atas tiga lagi ahli kumpulan yang berjaya diberkas, semalam Abdul Ghaffar berkata, masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes curi, pecah rumah, penagihan dadah dan gaduh.

“Hasil penahanan tiga ahli kumpulan itu, polis turut menemui seutas jam tangan diambil dari rumah mangsa dan sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam kes berkenaan,” katanya.

Sinar Harian 19 Jun 2012


0 comments:

Post a Comment