June 20, 2012

Tiga nyawa nyaris melayang


DUNGUN: Tiga beranak warga Singapura nyaris maut apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 88, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Bukit Bauk, di sini, semalam.

Ahmad Hashim, 52, bersama anak lelaki dan perempuannya masing-masing berusia 14 dan 16 tahun nyaris maut apabila Perodua Kenari yang dipandunya dipercayai memasuki laluan kanan sebelum bergesel dengan treler dari arah bertentangan kira-kira jam 4 pagi.

Ketiga-tiga beranak itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Kuala Terengganu untuk menyelesaikan urusan pusaka arwah isteri Ahmad yang meninggal dunia, dua tahun lalu.

Pemandu treler terbabit, Mohd Saiful Derahim, 25, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan, untuk menghantar bijih besi ke Pelabuhan Kuantan.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, dia mendapati kereta yang dipandu mangsa secara tiba-tiba memasuki laluannya sebelum dia bertindak mengelak ke kiri jalan.

“Saya tidak berani mengelak terlalu jauh memandangkan kaki lima jalan itu adalah gaung dan bimbang treler akan terhumban ke dalam gaung berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Mohd Saiful berkata, sebaik memberhentikan kenderaannya, dia berlari menuju ke arah Perodua Kenari itu untuk memberikan bantuan kepada tiga beranak terbabit.

“Saya bersyukur mereka selamat biarpun keadaan sebelah kereta itu remuk dan saya percaya mereka mungkin mengalami kecederaan parah jika saya tidak mengelak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Ismail Abdullah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

myMetro 20 Jun 2012

0 comments:

Post a Comment