June 15, 2012

Pilu anak terbiar di New Zealand

HANAFI menunjukkan gambar anaknya pada sidang akhbar di pejabat Kelab Putera 1Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Titisan air mata seorang bapa, Hanafi Salleh, 30, membuktikan betapa hatinya cukup merindui panggilan ‘daddy’ yang diungkapkan oleh kedua-dua anaknya yang didakwa dilarikan oleh isterinya ke New Zealand sejak tujuh tahun lalu.

Suara gelak ketawa kedua-dua anaknya, Muhammad Syayden Ingham Hanafi, 12, dan Muhammad Jamey Alano Ingham, 9, yang sentiasa terngiang-ngiang seolah-olah mereka baru berpisah semalam.

Keadaan tersebut mendorong bapa tersebut untuk mencari dan membawa semula kedua-dua anaknya itu yang merupakan warganegara Malaysia pulang ke tanah air.

Menceritakan detik duka itu, Hanafi memberitahu, wanita yang dikahwininya pada tahun 1999, Nurul Junaidah Joanne Abdullah, 27, yang merupakan warganegara New Zealand bertindak melarikan diri bersama dua anak mereka itu pada 2004.

“Kami sekeluarga tinggal di Muar, Johor sebelum dia (Nurul Junaidah Joanne) lari bersama dua anak kami ke New Zealand pada 2004 tanpa apa-apa sebab kerana kami tiada sebarang perselisihan faham.

“Ketika itu pula saya dalam pelayaran di Eropah kerana bekerja sebagai pengurus pentadbiran dengan sebuah syarikat perkapalan,” katanya ketika ditemui di pejabat Kelab Putera 1Malaysia di sini semalam.

Kosmo 15 Jun 2012


‘Saya mahu pulang Malaysia’

RINDU...surat yang dihantar anak Hanafi.

KUALA LUMPUR: “Kami sayangkan ayah dan tak sabar nak jumpa ayah. Saya berharap dapat pulang ke Malaysia.” Itu antara kandungan dua surat tulisan tangan yang menambah kerinduan seorang bapa untuk bertemu dua anaknya yang dilarikan ibu mereka ke New Zealand sejak tujuh tahun lalu.

Hidup Hanafi Salleh, 36, nelayan dari Tanjung Agas, Muar, Johor menjadi tidak keruan kerana terlalu merindui anak kesayangannya dan melakukan apa saja untuk membawa mereka pulang termasuk meminta bantuan daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis di Muar, April lalu.

Kini, penantian Hanafi sejak 2004 itu bakal berakhir apabila Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bersetuju membantunya membawa Muhammad Shayden Ingham, 12, dan Muhammad Jamey Alano Ingham, 9, kembali ke pangkuannya.

Perkara itu dinyatakan Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pada sidang media berhubung kes itu semalam, dengan satu pertemuan akan diadakan antara beliau dan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, David Pine, Isnin ini.

Hanafi berkata, dia amat gembira kerana impian untuk kembali bersama dua anaknya itu bakal menjadi kenyataan selepas bertemu Abdul Azeez petang kelmarin.

Menurutnya, dua anaknya itu kini berada di bawah jagaan Nelson Site Child, Youth and Family, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat negara itu.

“Saya terpisah dengan dua anak saya itu selepas mereka dilarikan isteri saya (Nurul Junaidah Joanne Abdullah, 25) ke Christchurch, New Zealand pada 2004 ketika saya bertugas di Eropah bersama sebuah syarikat perkapalan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, menerusi perbualan telefon dengan isterinya, wanita itu memaklumkan akan membawa pulang anak mereka ke Malaysia, namun janji itu tidak dikota.

“Beberapa bulan selepas itu, saya jumpa anak-anak hanya beberapa jam di pelabuhan Nelson City kerana kapal saya berlabuh di sana. Itu kali terakhir saya berjumpa mereka kerana selepas itu, isteri mendiamkan diri dan pelbagai usaha saya menghubunginya gagal.

“Sehingga pada 2010 apabila saya didatangi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan anak saya berada di Nelson City iaitu sebuah bandar di Pelabuhan South Island.

“Saya juga dimaklumkan anak dijaga agensi kebajikan di sana kerana isteri hilang hak penjagaan selepas terbabit penyalahgunaan dadah,” katanya yang kini sudah berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak.

Hanafi berkata, perasaannya menjadi sayu dan sebak setiap kali mengenangkan nasib anaknya apatah lagi selepas dimaklumkan mereka akan diserahkan kepada keluarga angkat kerana tempoh untuk dua beradik itu berada di rumah kebajikan bakal berakhir tidak lama lagi.

“Hati saya semakin sebak apabila menerima surat daripada dua anak saya itu berserta gambar mereka pada Oktober tahun lalu. Lebih mengharukan, seorang daripada anak saya melukis gambar kapal, mungkin merujuk kepada pekerjaan saya.

“Sebab itu saya nekad untuk berjumpa Tan Sri Muhyiddin dan mengadu mengenai masalah saya dan dia meminta saya menghubungi Datuk Azeez untuk mendapatkan bantuan.

“Hari ini (semalam) saya bagai tak percaya apabila KP1M bersedia membawa pulang permata hati saya. Apabila mereka pulang ke Malaysia kelak, saya akan menghantar mereka ke sekolah agama atau pusat tahfiz untuk mereka mendalami ilmu agama,” katanya yang ditemani ibunya, Mariam Khairi, 65.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, dalam usaha membawa pulang dua beradik itu, pada peringkat awal, KP1M akan menyediakan pasport untuk Mariam yang ikut serta ke New Zealand bagi membawa pulang cucunya.

“Kelab sudah pun menghubungi Pesuruhjaya Tinggi kita di sana (New Zealand) untuk membantu proses membawa pulang mereka pertengahan minggu depan. Kita jangkakan ia tidak menghadapi masalah kerana mereka warga Malaysia. Jadi kemungkinan tiada kerenah birokrasi,” katanya.

myMetro 15 Jun 2012


Jumpa anak selepas tujuh tahun dilarikan isteri


KUALA LUMPUR - Seorang bapa, Hanafi Salleh, 36, tidak mampu menahan air mata kegembiraan setelah dipertemukan semula dengan dua anak lelakinya yang didakwa dilarikan ke New Zealand oleh isterinya tujuh tahun lalu.

Dia yang ditemani Setiausaha Agung Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Abdul Khalid Chairul sempat beramah mesra dengan dua anaknya, Muhammad Syayden Ingham, 12, dan Muhammad Jamey Alano Ingham, 9, di sebuah taman permainan di Nelson City, New Zealand semalam.

Menurut Abdul Khalid, pertemuan yang turut dipantau wakil Kementerian Pembangunan Masyarakat New Zealand iaitu Nelson Site Child Youth and Family (CYF) bakal menentukan keputusan permohonan membawa pulang dua kanak-kanak itu ke Malaysia.

"Dua kanak-kanak tersebut gembira berjumpa Hanafi dan teruja untuk mengetahui lebih lanjut kehidupan di Malaysia.

"CYF amat mementingkan kebajikan kanak-kanak tersebut. Jika respon positif, mereka akan dibawa pulang hujung minggu ini," ujarnya ketika dihubungi.

Kosmo! pada 15 Jun lalu memaparkan kesedihan yang terpaksa ditanggung Hanafi apabila dua anaknya itu dilarikan isterinya ke New Zealand sejak tujuh tahun lalu.

Kosmo 1 Jul 2012


Hanafi pulang tanpa dua anak


KUALA LUMPUR 25 Julai - Hajat seorang bapa, Hanafi Salleh mahu menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama dua anak yang terpisah sejak lapan tahun akibat dilarikan bekas isteri ke New Zealand tidak kesampaian setelah tidak dibenarkan berbuat demikian.

Hanafi, 36, yang berlepas ke New Zealand pada 28 Jun lalu untuk membawa pulang dua anaknya, Muhammad Jamey Alano Ingham, 9, dan Muhammad Shayden Ingham, 12, terpaksa pulang tanpa permata hatinya itu pada 7 Julai lalu, setelah kerajaan New Zealand tidak membenarkan kanak-kanak berkenaan dibawa bersama kerana masalah perundangan.

Menurut Hanafi, walaupun sudah disahkan oleh kerajaan New Zealand sebagai bapa kandung kepada Muhammad Jamey Alano dan Muhammad Shayden tetapi dia perlu mematuhi prosedur undang-undang termasuk melantik seorang peguam mewakili kes tuntutannya sebelum dibenarkan membawa pulang dua anaknya itu.

Hanafi yang mesra memanggil dua beradik itu dengan nama Shayden dan Jamey memberitahu, dia memang berharap sangat dapat membawa pulang dua anaknya itu ke tanah air untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

"Saya memang berangan-angan mahu berpuasa dan meraikan Aidilfitri bersama Shayden dan Jamey, malah sudah membeli kain dan menghantarnya ke tukang jahit untuk membuat baju Melayu berwarna putih iaitu warna pilihan untuk dipakai kami sekeluarga pada tahun ini.

"Namun, sedih sekali apabila saya terpaksa membatalkan tempahan baju untuk mereka setelah gagal membawa mereka pulang pada 7 Julai lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 14 Jun lalu, Hanafi yang bekerja sebagai nelayan meminta Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) membantu membawa pulang Shayden dan Jamey yang dilarikan bekas isterinya, seorang warga New Zealand, Nurul Junaidah Joanne Abdullah, 27.

Pada Januari tahun lalu, Hanafi dikunjungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan diberitahu sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat New Zealand iaitu Nelson Site Child Youth and Family memaklumkan dua anaknya itu berada di bawah jagaan agensi tersebut.

Hanafi diiringi Setiausaha Agung KP1M, Abdul Khalid Chairul kemudian berlepas ke Zew Zealand pada 28 Jun lalu, untuk menyelesaikan segala urusan bersama pihak berkuasa negara itu bagi membolehkan dua anaknya dibawa pulang.

Menurut Hanafi, walaupun gagal membawa pulang Shayden dan Jamey kali ini, namun dia tidak berputus asa dan akan kembali ke New Zealand pada September ini untuk menguruskan semula kes tuntutan terhadap dua anaknya itu.

Sejak pulang ke tanah air, Hanafi berkata, dia tidak berpeluang bercakap atau berhubung secara terus dengan kedua-dua anaknya itu kerana tidak dibenarkan oleh Nelson Site Child Youth and Family iaitu agensi yang melindungi dua beradik tersebut.

Ditanya apa perasaan apabila pertama kali bertemu anak-anaknya baru-baru ini, Hanafi memberitahu, dia amat gembira dan terharu apabila Shayden dan Jamey saling berlari ke arahnya dan berpelukan, malah mereka juga tidak lupa asal usul mempunyai keluarga dari Malaysia.

"Pertemuan kami berlangsung selama tiga hari berturut-turut di sebuah taman dan hanya dibenarkan menghabiskan masa selama tiga jam sehari dengan diawasi pegawai kebajikan dari Nelson Site Child Youth and Family," katanya.

Utusan 26 Jul 2012


1 comment: