June 20, 2012

Mayat Wanita Ditemui Dalam Longkang Dekat Kompleks Mahkamah Sungai Petani


SUNGAI PETANI: Mayat seorang wanita, dipercayai dibunuh, ditemui dalam keadaan terlentang di atas sebuah motosikal dalam longkang di tepi Jalan Persiaran Ambangan Heights berhampiran Kompleks Mahkamah Sungai Petani, di sini Rabu.

Mayat M. Revathi, 23, pemilik butik perkahwinan Rakshata Bridal House di Taman Ria di sini, ditemui pada pukul 7.30 pagi oleh orang ramai dalam keadaan lengkap berpakaian dan dengan kesan kecederaan parah di leher dan dada.

Bapa saudara wanita itu, N. Subrayam, 53, berkata Revathi tidak pulang ke rumahnya di Taman Arked sejak malam tadi dan anggota keluarga telah melancarkan gerakan mencarinya.

"Biasanya dia akan balik ke rumah di Taman Arked kira-kira pukul 10.30 malam iaitu selepas selesai mengikuti kelas andaman di Taman Sejati Indah.

"Tapi malam tadi dia tidak pulang menyebabkan ahli keluarga keluar mencari," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini Rabu.

Subrayam yang merupakan Setiausaha Parti Progresif Rakyat (PPP) Negeri Kedah berkata mengesyaki sesuatu tidak diingini berlaku, bapa Revathi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada pukul 2 pagi.

Beliau berkata mereka menerima panggilan daripada polis pada pukul 8.15 pagi ini memaklumkan mengenai penemuan mayat anak saudaranya itu.

Subrayam berkata setahu beliau anak saudaranya itu tidak pernah berselisih faham dengan sesiapa atau terlibat dalam percintaan.

"Dia seorang budak yang baik dan baru sahaja membuka perniagaan kira-kira dua bulan lepas," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali ketika ditemui mengesahkan penemuan mayat itu.

"Berdasarkan siasatan awal, terdapat beberapa kesan luka pada leher dan dada mangsa. Siasatan akan dibuat dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya. - BERNAMA

20 Jun 2012


Mati penuh misteri

SIASAT ...anggota polis memeriksa mayat Varathi yang ditemui mati atas motosikalnya. Gambar kecil, M Varathi.

SUNGAI PETANI: Punca kematian seorang pengusaha butik kecantikan menimbulkan misteri kerana mayatnya yang ditemui terbaring atas tempat duduk motosikal di dalam longkang, turut mempunyai kesan tikaman di leher, dada dan pinggang kiri.

Mayat M Varathi, 23, dari Taman Arked, di sini, ditemui kira-kira jam 7 pagi oleh pengguna jalan raya berhampiran Kompleks Mahkamah Sungai Petani di Jalan Amanjaya, dekat sini, yang pada mulanya menyangka mangsa mati akibat kemalangan motosikal.

Selain beberapa kesan tikaman, cincin, rantai leher serta telefon bimbit mangsa turut hilang kecuali seikat buah rambutan ditemui masih berada dalam raga motosikalnya.

Adik mangsa yang enggan dikenali berkata, biasanya kakaknya menutup butik miliknya di Taman Ria Jaya di sini, kira-kira jam 6 petang sebelum pergi belajar di sebuah butik kecantikan lain di Taman Sejati Indah dan pulang ke rumah pada jam 10.30 malam setiap hari.

myMetro 21 Jun 2012


2 penganggur ditahan kes bunuh pemilik butik


SUNGAI PETANI - Polis menahan dua pengganggur bagi membantu siasatan kes bunuh seorang wanita pemilik butik perkahwinan yang mayatnya ditemui dalam longkang di tepi Jalan Persiaran Ambangan Heights, berdekatan Kompleks Mahkamah Sungai Petani, di sini semalam.
 
Kedua-dua lelaki yang berusia sekitar 20-an itu direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
 
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim Ali berkata suspek ditahan oleh sepasukan polis sekitar bandar ini lewat petang semalam.
 
"Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes bunuh itu. Siasatan awal dan laporan bedah siasat menunjukkan mangsa telah ditikam berdasarkan kesan yang ditemui pada bahagian leher dan dada," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
 
Hashim berkata polis juga tidak menolak kemungkinan motif kejadian berpunca daripada cemburu.

"Bagaimanapun kami akan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk unsur-unsur lain seperti samun dan sebagainya," katanya.
 
M. Revathi, 23, ditemui mati di dalam longkang di tepi Jalan Persiaran Ambangan Heights pagi semalam.
 
Mayat pemilik Rakshata Bridal House di Taman Ria di sini itu ditemui pukul 7.30 pagi oleh orang ramai dalam keadaan terlentang atas motosikal di longkang sedalam kira-kira 0.5 meter yang dipenuhi semak.
 
Mayat wanita itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dengan kecederaan parah di leher dan dada. - Bernama

22 Jun 2012



0 comments:

Post a Comment