June 18, 2012

Kaki penipu didakwa lagi


KUALA TERENGGANU - Belum tamat tempoh hukuman atas kesalahan menipu yang dijatuhkan kepadanya tahun lalu, seorang penganggur yang masih bergelar banduan sekali lagi berdepan lima dakwaan menipu dua warga emas   mencecah kerugian lebih RM200,000 di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Nor Belam Jusoh, 33, dari Hadapan Klinik, Kampung Bukit Tunggal, di sini, berdepan lima pertuduhan menipu dua warga emas berhubung jual beli tanah di sekitar daerah di sini, pada 2005 dan 2006 serta satu pertuduhan menyimpan kereta curi di kediamannya pada 2006.

Bagaimanapun, dia yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Marang, juga atas kesalahan penipuan mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan. Nor Belam yang juga telah dijatuhi hukuman empat sebatan atas  kesalahan penipuan mengaku tidak bersalah memperdaya seorang warga emas, Hassan Hussain, 75, di Pejabat Syarikat Hassan Hussain, Pengadang Baru, di sini, pada 27 Disember 2005 kira-kira jam 1 petang dan pada 19  Januari 2006 kira-kira jam 5.15 petang.

Dia mengaku tidak bersalah memperdaya warga emas itu dengan menawarkan untuk menjual tanah di Mukim Batu Buruk, dengan menggunakan dokumen palsu, serta Surat Akuan Dato Mohamed Nor Mohamad, 80, yang telah mendorong mangsa menyerahkan tunai berjumlah RM60,000 dan pada bulan seterusnya menyerahkan cek bernilai RM87,700.

Selain itu, Nor Belam mengaku tidak bersalah memperdaya Wan Manang Wan Awang, 58, dengan menawarkan untuk menjual tanah di Bandar Kuala Terengganu dengan menggunakan dokumen palsu.

Dia mengaku tidak bersalah memperdaya mengsa sehingga mendorong mangsa menyerahkan sekeping cek berjumlah RM30,000 pada 11 Julai 2005, kira-kira jam 10.30 pagi dan menyerahkan cek RM50,000 pada 28 Julai 2005 kira-kira jam 10 pagi.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh  ikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, Majistret Abdul Hayyi Salim membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM29,000 bagi kelima-lima pertuduhan dan menetapkan 15 Julai depan sebagai  arikh   sebutan semula kes.Sementara itu di mahkamah sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah menyimpan sebuah kereta curi milik David Cecil Michael Aeria, 53, di kediamannya pada 16 Ogos 2006 kira-kira jam 4.20 petang.

Dengan itu, dia mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan denda jika disabitkan kesalahan. Bagi kesalahan itu, Mohd Hayyi turut membenarkan dia diikat jamin sejumlah RM5,000 dan turut menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.    

Sinar Harian 18 Jun 2012

0 comments:

Post a Comment