June 21, 2012

Empat individu dicari bantu siasatan


TAPAH - Polis Daerah Tapah kini sedang mencari empat lelaki bagi membantu siasatan dalam pelbagai kes yang dilaporkan berlaku di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata, kesemua individu terbabit dipercayai dapat membantu menyelesaikan kes berhubung curi, pecah rumah dan samun.

Menurutnya, lelaki pertama dikenali sebagai Mohd Aslam Pateh Mohd, 45, berasal dari Kampung Muhibbah, Chederiang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam kenderaan di Tapah.

"Pihak kami juga sedang menjejaki seorang lelaki yang dikenali sebagai Muhamad Nizal Husin Nordin atau lebih dikenali sebagai “Boy” berusia 29 berasal dari Kampung Batu 3,Jalan Temoh.

"Muhamad Nizal dipercayai mampu membantu dalam menyelesaikan kes pecah rumah di beberapa kawasan Temoh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai S. Thilakkumar berusia 28 tahun, berasal dari Felda Serting 6, Bandar Sri Jempol, Negeri Sembilan turut dicari bagi membantu siasatan polis.

“Lelaki ini dipercayai dapat membantu siasatan berkenaaan samun berkawan dengan senjata api di kawasan Tapah Road di bawah Seksyen 395/379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Mohd Nasri Fadzir.

Tambah Som Sak, lelaki keempat yang dicari pihaknya dikenali sebagai Mohd Rahim Rashid Khan, 34, dari Taman Permai, Sungkai, bagi membantu siasatan berkaitkan kes yang berlaku di Sungkai di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Pihaknya berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat berkenaan keempat-empat lelaki yang dicari bagi menyelesaikan kes yang disiasat oleh pegawainya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kejadian jenayah dan lain-lain maklumat boleh berhubung terus di talian IPD Tapah 05-4015222 atau SMS Rakan Cops 32728 ataupun balai polis berdekatan,”katanya.

Sinar Harian 21 Jun 2012

0 comments:

Post a Comment